Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak guna kamera pen jika pen AG tak bebas - PSM
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 7:30 PM
Dikemaskini: 11:30 AM

Pemberi maklumat di Sabah boleh membocorkan skandal rasuah sebanyak mana yang dia mahu, tetapi segala pendedahan itu tidak akan dipedulikan jika tiada pemisahan kuasa, kata Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pembelian "alat rakaman paling canggih seperti pen berkamera" kata Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan juga tidak akan membawa apa-apa manfaat jika "pen peguam negara tidak bebas.”

"Saya skeptikal bahawa pemberi maklumat, SPRM atau instrumen lain seperti Suhakam akan memberi impak yang sebenar," tegasnya kepada Malaysiakini.

Arutchelvan berkata kebanyakan rakyat Malaysia percaya masa terbaik untuk merealisasikan pemisahan kuasa ketika PH memegang tampuk kuasa pada 2018.

Gambar hiasan, pen berkamera merakam skandal rasuah.

"(Perdana menteri ketika itu) Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan tidak dapat melaksanakan pemisahan kuasa antara Pejabat Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana tidak mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat.

"Pada Mac tahun berikutnya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata satu jawatankuasa kerja telah dibentuk oleh AGC untuk menyediakan laporan dan mengemukakan cadangan kepada kabinet.

Persoalannya, apa yang berlaku kepada jawatankuasa kerja itu?" katanya lagi.

Menurut Arutchelvan, untuk melaksanakan pemisahan kuasa, pindaan undang-undang perlu dibuat ke atas fungsi dan peranan peguam negara dan pendakwa raya.

"Perubahan itu melibatkan Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan, Seksyen 376(1) Kanun Prosedur Jenayah, dan definisi 'pendakwa raya' dalam Akta Tafsiran 1948 dan 1967," katanya.

Arutchelvan juga menekankan sekarang Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempunyai majoriti dua pertiga.

"Tetapi persoalannya, adakah wujud keazaman politik untuk dia melaksanakan pindaan ini dan cuba mendapatkan markah A berbanding D?

“Adakah dia akan mendapat sokongan dari Sabah," katanya, merujuk kad laporan pertengahan penggal Bersih untuk kerajaan Madani.

Arutchelvan memetik Bersih yang menyatakan pemisahan kuasa mungkin ditangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum ke-16.

Katanya, ini walaupun Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran, pada Januari tahun ini menyatakan terdapat garis masa untuk melaksanakan pemisahan kuasa antara AG dan pendakwa raya.

"Menurut Kula, kerajaan bersedia membentangkan rang undang-undang draf pada penghujung tahun kerana draf itu berada pada peringkat akhir kajian.

"Namun, kini kita telah sampai ke bulan terakhir tahun ini, dan kita hanya disajikan dengan video rasuah sensasi, sedangkan tiada siapa yang benar-benar optimis untuk melihat pemisahan kuasa berlaku," katanya.

Kekuasaan masih kebal

"Pemberi maklumat boleh terus mendedahkan skandalnya, tetapi selagi tiada mekanisme yang jelas, pihak berkuasa akan kekal kebal.

“Ikatan yang menghubungkan AG dengan pendakwa raya nampaknya terlalu kukuh," kata Arutchelvan lagi.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan pemberi maklumat itu yang mendedahkan tujuh video berkaitan dakwaan rasuah di Sabah, membuat rakaman menggunakan pen berkamera yang dibeli dalam talian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS