Dr Mahathir Mohamad berkata tidak ada banyak manfaat akan diperolehi negara ini jika kerajaan menambah bilangan ahli Dewan Rakyat seperti yang dicadangkan sesetengah pihak.
Menurut bekas perdana menteri sebanyak dua kali itu, sebelum ini pun ada pihak yang berpendapat jumlah yang sedia ada sudah memadai dan menyebabkan perjalanan parlimen berlangsung lama.
Kata Mahathir pandangan tersebut pernah diutarakan Allahyarham Mohamed Zahir Ismail semasa dia menjadi Yang di-Pertua Dewan Rakyat antara 1982 hingga 2004.
Mahathir mendakwa "ramai" yang menolak cadangan kerajaan mahu menambah bilangan kawasan parlimen daripada 222 yang ada sekarang.
Sedangkan, katanya, sesiapa yang mengikuti perbahasan dari semasa ke semasa akan mendapati daripada 222 ahli parlimen yang ada, hanya 10 orang yang mampu mengambil bahagian berbahas secara ilmiah.
"Yang lain tidak bersuara atau (gagal) berhujah dengan bernas.
"Tambahan ahli parlimen tidak akan memperdengarkan perbahasan yang lebih baik. Negara tidak akan mendapat banyak manfaat," katanya dalam hantaran di media sosial petang ini.
Terdahulu Dewan Rakyat diberitahu sebarang cadangan menambah bilangan ahli parlimen itu perlu melibatkan pindaan perlembagaan iaitu perkara 46.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, ia juga perlu mendapat persetujuan sekurang-kurangnya dua per tiga daripada ahli Dewan Rakyat.
“Cadangan pertambahan bilangan Ahli Dewan Rakyat hendaklah datang daripada kerajaan sendiri selaras dengan keperluan Perkara 46 Perlembagaan Persekutuan.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai bidang kuasa terhadap perkara berkenaan,” katanya dalam jawapan bertulis parlimen.
Azalina berkata demikian sebagai menjawab soalan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh) yang bertanya jika kerajaan bercadang untuk menambah kerusi parlimen melalui persempadanan semula pilihan raya sebelum PRU akan datang.
Untuk rekod sebelum ini cadangan agar jumlah kerusi ditambah turut dibangkitkan Premier Sarawak, Abang Johari Openg, dalam sidang dewan undangan negeri tersebut.
Katanya terdapat beberapa perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sedang dibincangkan bersama kerajaan persekutuan termasuk meningkatkan jumlah kerusi parlimen bagi Sarawak dan Sabah kepada 35 peratus.
Ketika ini Sabah mempunyai 25 kerusi parlimen manakala Sarawak 31.
Kata Mahathir dia mendengar rintihan "majoriti" rakyat negara ini dan bersetuju agar tiada pertambahan kawasan pilihan raya dibuat lagi.
"Dengan 222 ahli ia sudah memadai untuk masalah rakyat didedah dalam dewan.
"Sebenarnya jika diambil kira ahli yang aktif, 100 orang sudah cukup.
"Saya turut mendesak kerajaan supaya tidak menambah kawasan pilihan raya," katanya.