Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri daftar PPS sana, suami daftar sini - Sanusi
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 5:34 PM
Dikemaskini: 9:34 AM

Kerajaan Kedah akan membangunkan mekanisme baharu pemberian bantuan kepada ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir selepas mengesan ada mangsa yang mengambil kesempatan mendapatkan bantuan itu lebih daripada yang ditetapkan.

Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata pihaknya mendapat laporan daripada pegawai daerah ada pasangan suami isteri mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) berbeza bagi mendapatkan RM1,000 yang diperuntukkan kepada setiap KIR.

“Kita dapat mengesan ada isi rumah dia duduk di banyak PPS, isteri daftar sana, suami daftar sini dan saya dimaklumkan oleh pegawai daerah ada beberapa kejadian seperti itu dikesan.

“Dalam (keadaan) banjir pun ambil kesempatan, tak bagus amalan itu. Saya rasa kali ini kita akan teliti perkara itu supaya ia tidak berlaku lagi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Kedah di Alor Setar hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Kedah menyalurkan Bantuan Komuniti Sejahtera (BKS) sebanyak RM1,000 kepada setiap KIR yang berpindah ke PPS ekoran kejadian banjir pada September lepas.

Muhammad Sanusi berkata pemberian bantuan pada kali ini juga akan diperluaskan kepada KIR yang tidak berpindah atas sebab tertentu seperti PPS penuh dan mereka yang dipindahkan atas faktor kerselamatan kerana terputus jalan perhubungan.

Beliau berkata ada dalam kalangan penduduk yang kediaman mereka tidak dinaiki air tetapi tetap dianggap sebagai mangsa banjir jika laluan ke rumah mereka ditenggelami banjir yang menyebabkan mereka terpaksa berpindah.

Tambah beliau jumlah bantuan kepada setiap KIR yang terlibat banjir kali ini akan ditentukan kemudian selepas mendapat angka rasmi.

“Kalau angka yang dikeluarkan oleh PKOB (Pusat Kawalan Operasi Bencana), di PPS jumlah keseluruhan mangsa adalah 11,046 orang dan KIR 3,574. Kalau kita ambil kira juga ketua isi rumah dan keluarga yang tidak berpindah mungkin lebih ramai,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata beliau difahamkan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengadakan lawatan kerja ke negeri ini pada Sabtu ini dan kerajaan negeri berhasrat mengemukakan permohonan peruntukan terutamanya berkaitan pembaikan infrastruktur yang terjejas banjir.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS