PARLIMEN l Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) hari mempersoalkan mengenai status cukai barang bernilai tinggi (HVGT) semasa perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024.
Ketua penerangan parti Islam itu berkata, bahawa HGVT telah dibangkitkan dalam Belanjawan 2024, tetapi masih tiada maklumat terkini mengenai statusnya.
“Sampai sekarang kita tidak tahu bagaimanakah status cukai ini. Ia telah diumumkan pada Belanjawan 2024, bukan Belanjawan 2025 tapi 2024, tetapi sampai sekarang ini, kerajaan mengambil masa yang lama untuk memuktamadkan dasar dan draf perundangan ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Katanya, setakat ini skop barangan dan nilai ambang kepada cukai yang diperkenalkan itu masih samar.
“Jadi saya nampak seolah-olah macam kerajaan ini buat pengumuman dahulu, tapi tidak tahu lagi apa perinciannya dan sampai sekarang ia masih belum dapat dilaksanakan dan bahkan tidak tahu lagi,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying tidak menjawab pertanyaannya secara khusus kerana kesuntukan masa memandang banyak lagi perkara yang diliputi dalam teks ucapannya.
Dia berjanji memberikan jawapan bertulis kepada semua 11 ahli Parlimen yang membahaskan rang undang-undang itu.