Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
FAM gantung Persatuan Bolasepak Perlis sebab tak patuh arahan Fifa
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 5:24 PM
Dikemaskini: 9:24 AM

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini memutuskan untuk menggantung Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sebagai ahli gabungan badan induk itu.

Keputusan yang dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM tersebut menyaksikan penggantungan itu berkuat kuasa sehingga PFA membuat pembayaran penuh seperti yang diarahkan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Pengerusi Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM, N. Saaran berkata hukuman itu susulan kegagalan PFA mematuhi arahan FIFA untuk membayar gaji tertunggak dan pampasan kontrak yang dituntut bekas Pengarah Bola Sepak PFA Matt Holland.

FIFA mengeluarkan keputusan itu pada 4 Dis 2019.

“Aduan telah dibuat oleh Holland selepas PFA gagal menjelaskan bayaran tersebut dan FIFA, menerusi surat bertarikh 11 Nov 2024, telah membuat keputusan terbaharu dengan PFA diarahkan membayar sebanyak RM998,658 kepada Holland dan denda sebanyak CHF15,000 (kira-kira RM75,654.83),” katanya pada sidang media selepas mesyuarat itu di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari.

Pada masa sama, Saaran berkata FAM yang telah dinamakan sebagai responden kedua turut dikenakan denda sebanyak CHF5,000 (kira-kira RM25,216.06) kerana gagal memastikan PFA mematuhi keputusan FIFA.

Beliau berkata sekiranya tiada pembayaran dibuat PFA, FAM berdepan tindakan lanjut oleh FIFA antaranya sekatan terhadap peruntukan kewangan sebanyak 20% daripada Program FIFA Forward (yang merupakan geran pembangunan daripada FIFA) sehingga selesai bayaran tersebut.

Justeru, beliau berkata penggantungan PFA dibuat berdasarkan Artikel 17 Statut FAM.

“Penggantungan ini dibuat bagi mengelak FAM dikenakan tindakan lanjut oleh FIFA termasuk FAM perlu membayar semua bayaran yang harus dibayar oleh PFA dan sehingga boleh menyebabkan FAM dipertanggungjawabkan untuk kesemua hutang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Saaran berkata mesyuarat berkenaan turut membincangkan aduan tatacara pengendalian Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Ke-65 dan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif persatuan itu bagi sesi 2024-2028 yang didakwa tidak dijalankan dengan betul.

"Maka Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM pada 2 Dis 2024 mengarahkan kedua-dua pihak untuk memberikan bukti bagi mengesahkan bahawa aduan yang diterima itu adalah sah dan jawatankuasa berkenaan juga sudah membuat keputusan bahawa aduan itu adalah sah.

"Justeru, Jawatankuasa Pertikaian Dalaman FAM memutuskan untuk menetapkan tarikh perbicaraan kes berkenaan pada 19 Dis 2024 untuk KAFA menghantar pembelaan dan penjelasan berkaitan aduan tersebut,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS