Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Mastura diarah bayar RM750,000 kepada 3 pemimpin DAP
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 3:46 PM
Dikemaskini: 8:04 AM
2

Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, diarah membayar RM750,000 kepada veteran DAP serta dua ahli parlimen parti itu selepas kalah dalam saman fitnah yang dikenakan terhadapnya.

Dalam keputusan dibuat di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini, hakim Quay Chew Soon mengarahkan Mastura membayar RM300,000 kepada Lim Kit Siang, RM250,000 lagi kepada Lim Guan Eng dan RM200,000 kepada Teresa Kok.

Peguam ketiga-tiga mereka, Sankara Nair, berkata ahli parlimen PAS berkenaan juga perlu dikenakan faedah tahunan 5 peratus jika gagal membuat pembayaran mengikut tempoh yang ditetapkan.

Siti Mastura turut diarah membayar kos guaman sebanyak RM25,000 kepada setiap seorang plaintif terbabit.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Dewan Muslimat PAS Pusat itu disaman selepas membuat dakwaan Kit Siang, Guan Eng dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.

Menurut Sankara, mahkamah mendapati Siti Mastura bertindak dengan niat jahat apabila membuat dakwaan tersebut semasa berceramah di Kemaman, Terengganu, pada 2023.

Kata Sankara, pihak plaintif berjaya membuktikan bahawa kenyataan dibuat Siti Mastura bersifat fitnah dan dia gagal membuktikan pembelaannya tentang justifikasi, ulasan yang adil dan keistimewaan yang layak.

"Permohonan pihak plaintif untuk mendapatkan injuksi ke atas defendan agar dia tidak mengulangi kenyataan tersebut juga diterima mahkamah," katanya.

Pada 29 Nov 2023 Malaysiakini melaporkan ketiga-tiga mereka memulakan proses saman fitnah ke atas Siti Mastura berhubung dakwaan dibuat ahli politik PAS terbabit.

Sebelum itu Siti Mastura mendakwa Kit Siang, Guan Eng, dan Kok mempunyai pertalian keluarga dengan Chin Peng serta bekas perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Saman itu difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di George Town pada 27 Nov.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
2
ADS