Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Umno Sabah desak Hajiji letak jawatan
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 1:32 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Pemuda Umno Sabah mendesak Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor supaya meletakkan jawatan susulan pendedahan dakwaan skandal rasuah melibatkan anggota dewan undangan negeri (Adun).

Ketua Pemuda Umno Sabah Sufian Abd Karim berkata, pihaknya menyuarakan kebimbangan serius terhadap isu-isu yang melibatkan Adun-Adun Sabah berkaitan skandal Sabah Mineral Management Sdn Bhd.

Katanya, berdasarkan video-video yang tular, terdapat dakwaan salah urus, penyalahgunaan kuasa, dan kemungkinan berlakunya penyelewengan dalam pengurusan memberi kesan langsung kepada rakyat Sabah dan Hajiji mesti mengambil tanggungjawab penuh. 

"Oleh itu, Pemuda Umno Sabah mendesak Hajiji meletakkan jawatan sebagai ketua menteri Sabah agar siasatan dapat dijalankan secara bebas dan telus tanpa mengganggu pentadbiran negeri. 

"Satu siasatan menyeluruh dan bebas dilakukan terhadap organisasi Sabah Mineral Management Sdn Bhd

"Pendedahan hasil siasatan kepada rakyat Sabah kerana rakyat Sabah berhak mengetahui keadaan sebenar dan hasil siasatan dilaporkan untuk mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap pentadbiran negeri," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sufian Abd Karim

Malaysiakini semalam mendedahkan tujuh video penuh dan salinan-salinan dokumen daripada pemberi maklumat berkaitan dakwaan skandal rasuah negeri.

Ia mengandungi rakaman perbualan mengenai pemulangan wang suapan yang diberikan kepada ahli politik untuk mendapatkan sokongan bagi permohonan lesen penerokaan perlombongan mineral.  

Hajiji sebelum ini berkata video-video tersebut bertujuan untuk mencemarkan dan melemahkan kerajaannya.  

Dia juga berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM tetapi menegaskan bahawa pemberi maklumat, yang motifnya dipersoalkan, perlu ditangkap dan disiasat.

Sementara itu, Sufian berkata sebagai rakyat Sabah, Pemuda Umno negeri tidak lagi boleh berdiam diri.

"Adalah perkara yang sangat membimbangkan apabila wujud dakwaan bahawa sumber kekayaan negeri ini telah disalahgunakan sehingga menyebabkan kerugian besar kepada negeri dan rakyat Sabah.

"Kekayaan Sabah adalah milik rakyat, bukan milik segelintir," tegasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS