Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas CEO 1MDB patut di kandang tertuduh bukan di kandang saksi - Najib

Najib Razak memberi keterangan mendakwa bahawa bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi sepatutnya berada di kandang tertuduh dan bukannya dirinya.

Bekas perdana menteri itu hari ini menegaskan bahawa bukti dokumentari menunjukkan bahawa dalang sebenar penyelewengan di 1MDB ialah Shahrol dan ahli pengurusannya yang lain bersama ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho (Jho Low).

Najib yang juga bekas menteri kewangan menegaskan Shahrol mengingkari lembaga pengarah 1MDB dan bersekongkol dengan pengurusan dan Jho Low untuk menggelapkan AS$700 juta dana yang dimaksudkan untuk usaha sama dengan Petrosaudi International Limited (PSI).

"Bukankah dia (Shahrol) sangat bertuah kerana saya orang yang dituduh? Kerana jika saya bukan bekas perdana menteri Malaysia dan menteri kewangan, saya benar-benar percaya dia bukan di kandang saksi tetapi kandang tertuduh," kata Najib memberi keterangan dalam pembelaannya semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion 1MDB.

Pada 2009, AS$700 juta daripada AS$1 bilion dana 1MDB untuk usaha sama itu dialihkan kepada entiti luar pesisir Good Star Limited, yang dikaitkan dengan Jho Low.

Pendakwa raya mendakwa bahawa tindakan Jho Low di 1MDB adalah atas restu Najib.

Najib hari ini mempersoalkan keterangan Shahrol bahawa bekas CEO itu menganggap arahan dari Jho Low sama seperti datang darinya, dan menegaskan bahawa ahli perniagaan dalam buruan itu tidak mempunyai peranan dalam 1MDB.

Tertuduh menafikan pernah mengarahkan Jho Low untuk memberikan Shahrol sebarang mandat meneruskan usaha sama 1MDB-Petrosaudi International.

“Adalah jelas bahawa pergantungan Shahrol pada arahan yang dikatakan daripada Jho Low ini, tanpa mendapatkan pengesahan saya, sangat mencadangkan keterlibatan dalam skim Jho Low untuk menyalahgunakan tambahan RM1 bilion daripada 1MDB.

"Ia juga jelas bahawa ini adalah percubaan yang dirancang untuk melibatkan saya secara tidak adil dalam rancangan yang saya tidak tahu atau terlibat," Najib memberi keterangan.

Bagaimanapun, tertuduh mendakwa dia tidak mengetahui sebarang salah laku di 1MDB, dan penyelewenagan itu didalangi oleh Jho Low dan ahli pengurusan 1MDB yang lain.

Pada 30 Okt lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh dipertanggungjawab) terhadap Najib berhubung syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) itu.

Hakim memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan berikutan kekuatan 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.

Najib sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes salah guna kuasa berasingan membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS