Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukuman sebatan pesalah khalwat berulang digantung

Pelaksanaan hukuman sebatan terhadap pesalah kes khalwat berulang di Terengganu dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini kini digantung.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia susulan satu permohonan semakan keputusan dikemukakan kepada Mahkamah Rayuan Syariah, semalam.

“Oleh yang demikian, perintah pelaksanaan hukuman sebatan syariah di luar penjara tersebut adalah digantung sementara menanti perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah.

“Permohonan semakan adalah merupakan perkara biasa dalam sistem kehakiman. 

“Justeru itu, orang ramai diminta menunggu perintah selanjutnya daripada Mahkamah Rayuan Syariah,” katanya pada sidang media di Kuala Terengganu, hari ini.

Khalil Abdul Hadi

Pada 20 November lalu, seorang duda muncul sebagai pesalah pertama yang akan dihukum sebat secara terbuka. 

Hakim kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail, menetapkan hukuman tersebut terhadap Mohd Affendi Awang, 42, yang mengaku salah atas dakwaan melakukan khalwat kali ketiga.  

Mahkamah memerintahkan hukuman enam sebatan dilaksanakan selepas solat Jumaat pada 6 Disember ini.

Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat. 

Dia turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan. 

Tukang rumah itu pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat pada 11 Julai 2023 di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman. 

Bapa kepada lima anak itu sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama pada 25 Jan lalu dan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.

‘Jangan spekulasi’

Sementara itu, Muhammad Khalil menasihati semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi, sebaliknya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada pihak mahkamah.

Jelasnya, hukuman sebatan ini merupakan satu hukuman sebatan syariah bagi kesalahan jenayah syariah takzir. 

“Antara tujuan adalah untuk memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri dan individu yang lain,” katanya.

Terdahulu Malaysiakini turut melaporkan proses hukuman yang digantung itu hanya akan disaksikan 70 individu terpilih. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS