Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Remaja dihanyutkan arus di Sungai Neram ditemukan lemas
Diterbitkan:  Dec 4, 2024 11:24 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang dihanyutkan arus deras ketika mandi di Sungai Neram di Felda Neram 1 dekat Chukai petang semalam, ditemukan lemas pagi ini.

Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM) Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu Mohd Zailani Abdullah berkata Mohd Yusuf Adnan, 16, ditemukan pada 8.10 pagi, kira-kira 400 meter dari lokasi terakhir mangsa dilihat oleh saksi.

“Teknik operasi yang kami lakukan adalah pencarian di tebing sungai secara berkala dan berterusan daripada malam tadi sampai pagi ini. Mangsa ditemukan tersangkut pada dahan kayu yang berada dalam air.

“Keadaan mangsa semasa ditemukan adalah sempurna, lengkap berbaju biru dan seluar trek berwarna hitam. Kita serahkan mangsa kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, seorang pelajar lelaki Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Neram dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Neram di Chukai.

Dalam kejadian sekitar 4 petang itu, mangsa dikatakan sedang mandi di sungai berkenaan bersama 10 rakannya sebelum dihanyutkan arus deras.   

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS