Menteri Kewangan Sabah Masidi Manjun secara sukarela hadir ke SPRM malam tadi untuk memberi kenyataan.
Ini selepas seorang pemberi maklumat mengeluarkan video perbualan dengan Masidi dan pembantunya mengenai apa yang didakwa sebagai rasuah RM300,000.
Dalam satu kenyataan semalam, Masidi berkata dia hadir tanpa diminta ke pejabat SPRM Kota Kinabalu pada jam 8 malam untuk memberi kenyataan mengenai video itu.
“Lawatan saya ke pejabat SPRM adalah untuk membantu siasatan dan sebagai tanda sokongan saya terhadap usaha SPRM membanteras rasuah di negeri ini,” katanya.
Katanya, dia akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan berhubung perkara ini.
Berdasarkan video itu, rakaman itu dikatakan dibuat di pejabat Masidi pada 11 Jan tahun ini.
Dalam perbualan itu, Masidi bersetuju dengan pemberi maklumat bahawa permohonannya untuk mendapatkan lesen carigali mineral perlu ditangguh kerana projek perlombongan itu telah menjadi kontroversi.
Mereka kemudian kelihatan mengakui bahawa RM300,000 telah bertukar tangan antara mereka.
BACA BERKAITAN: Masidi nafi 'RM300k dalam beg', dakwa tidak ingat perbualan itu
Pemberi maklumat yang merupakan ahli perniagaan sebelum ini mengaku sebagai pemberi rasuah.
Dalam video yang sama ahli perniagaan itu bertemu pembantu menteri, yang mengesahkan bahawa RM300,000 telah diberikan.
Pembantu itu kemudian meminta pemberi maklumat untuk "reserve RM1 juta" untuk kegunaan Masidi di kawasannya.
Ketika dihubungi Malaysiakini malam tadi, Masidi - yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah - mendakwa dia tidak tahu mengenai permintaan RM1 juta itu.
"Saya tidak tahu menahu hal tersebut," katanya ringkas.
Laporan tambahan oleh Hariz Mohd