Menteri Kewangan Negeri Sabah Masidi Manjun dan pegawai khasnya hari ini menafikan dakwaan seorang pemberi maklumat bahawa kedua-dua mereka menerima sejumlah wang yang ditawarkan sebagai rasuah untuk menyokong permohonan mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Pemberi maklumat itu, yang juga seorang ahli perniagaan hari ini mendedahkan tujuh rakaman penuh perbualannya dengan beberapa Adun mengenai perbincangan tersebut.
Antaranya, dikatakan diadakan di pejabat Masidi pada 11 Januari lalu yang membabitkan sejumlah RM300,000, dikatakan sebagai bahagian wang yang “diserahkan" daripada jumlah penuh RM3 juta.
“Saya tidak ingat perbualan itu. Apa yang saya ingat ialah dia (pemberi maklumat) menawarkan untuk menderma kepada parti, dan saya menjawab tidak ada keperluan untuk dia berbuat demikian," kata setiausaha agung, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu kepada Malaysiakini hari ini.
Berdasarkan video itu, Masidi semasa perbualan tersebut bersetuju dengan pemberi maklumat bahawa isu lesen harus diketepikan buat sementara waktu kerana projek perlombongan telah menjadi kontroversi.
“Pihak pembangkang bising. Kamu senyap dulu, jangan kelam-kabut. Ketua menteri kena bantai kiri kanan,” katanya.
Apabila pemberi maklumat bertanya jika "dana" juga perlu “KIV” (disimpan dahulu), menteri itu menjawab: “Ya, ya, ya, KIV dulu. Jangan ambil risiko.”
Pemberi maklumat itu kemudiannya memberitahu Masidi bahawa dia telah "menyerahkan RM300,000 pertama".
Mengulas lanjut, Masidi berkata dia mengalu-alukan sebarang siasatan berhubung dakwaan terbabit.
“Saya akan beri kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
"Saya terkejut bagaimana sesetengah orang boleh bersusah payah untuk memburukkan orang lain dengan pembohongan dan pembunuhan watak," kata Adun Karanaan itu.
Fitnah keji
Dalam video sama, pemberi maklumat itu mendedahkan dia juga berjumpa dengan pembantu menteri tersebut, yang mengesahkan bahawa RM300,000 telah diberikan kepada Masidi.
“Saya janji beri RM3 juta (kepada menteri) untuk lesen penerokaan ini. Saya sudah buat bayaran pertama RM300,000. Jadi bakinya RM2.7 juta.
“Kamu ada di pejabat (menteri) waktu saya bawa beg (berisi wang) itu. Saya serah pada menteri?” katanya, dan pembantu itu mengiyakannya.
Bagaimanapun, Johari Suhaimin ketika dihubungi hari ini menyifatkan dakwaan tersebut sebagai "fitnah keji".
“Itu fitnah. Bagi saya itu fitnah. Tiada pengesahan apa-apa. Ini seperti plot yang dicipta untuk dia (pemberi maklumat) bercerita. Untuk memberitahu tentang RM300,000.
“Saya tidak nampak apa-apa yang diberikan. Saya tidak nampak apa-apa,” katanya kepada Malaysiakini.
Dia juga mendakwa bahawa video penuh yang dikeluarkan hari ini telah "diedit" dan "tidak menceritakan kisah sebenar".
"Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat, kerana ini jelas fitnah," katanya.
Bulan lalu, SPRM mula menyiasat dakwaan rasuah terhadap Adun Sabah yang turut membabitkan Ketua Menteri Hajiji Noor, selepas pemberi maklumat tersebut, yang mengaku menawarkan rasuah, mendedahkan lapan rakaman sebagai pertukaran untuk mendapatkan perlindungan.