BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak memberi keterangan bahawa dia sebenarnya tidak pasti bagaimana pelarian yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho (Jho Low), memperolehi nombor telefon bimbit peribadinya.
Namun, katanya, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini bahawa kemungkinan besar ini berkaitan dengan hubungan antara adik Jho Low, Low Taek Szen, yang mengenali anak tirinya, Riza Shahriz Abdul Aziz (Riza Aziz).
"Saya tidak sepenuhnya pasti bila Jho Low mendapatkan nombor telefon bimbit peribadi saya.
"Namun, saya mengenalinya melalui anak tiri saya, Riza Aziz, yang mengenali adik Jho Low, Taek Szen, semasa mereka bersama-sama di London, khususnya di London School of Economics (LSE).
"Hubungan keluarga ini mungkin memudahkan Jho Low mendapatkan maklumat kontak saya. Pada masa yang sama, ramai rakyat Malaysia juga mempunyai nombor telefon bimbit peribadi saya.
"Saya perlu nyatakan bahawa ini adalah budaya politik Malaysia, bukan hanya melibatkan saya tetapi juga perdana menteri terdahulu dan menteri-menteri lain," kata Najib ketika memberi keterangan dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion melibatkan 1MDB.
Bagaimanapun, Najib menegaskan dia tidak pernah memberi kuasa kepada Jho Low untuk menggunakan keistimewaan tersebut untuk berhubungan dengan pegawainya untuk menyampaikan arahan.
"Tidak, sama sekali tidak. Tambahan pula, saya mengharapkan pegawai saya untuk tidak menerima sebarang perwakilan daripada Jho Low tanpa memeriksa terlebih dahulu dengan saya," tegas Najib, sambil berkata dia tidak mengetahui apa-apa mengenai peranan Jho Low dalam merancang salah laku di 1MDB.