Pemberi maklumat telah mengeluarkan tujuh rakaman penuh perbualannya dengan pelbagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun). Dia mendakwa jumlah wang yang terlibat adalah rasuah yang diberikan kepada ahli politik untuk menyokong permohonannya mendapatkan lesen penerokaan mineral.
Dalam bahagian pertama ini, terdapat dua video. Malaysiakini telah menghubungi pihak-pihak yang terlibat dan pejabat ketua menteri untuk mendapatkan komen.
Video 1: ‘Wang dalam beg’, ‘KM kena hentam’
Ini adalah perbualan antara pemberi maklumat dan Menteri Kewangan Negeri Masidi Manjun, yang juga merupakan Setiausaha Agung Gagasan Rakyat Sabah (GRS).
Berdasarkan video tersebut, rakaman dipercayai dibuat di pejabat menteri kewangan pada 11 Januari tahun ini.
Semasa perbualan, Masidi bersetuju dengan pemberi maklumat bahawa isu lesen perlu diketepikan buat sementara waktu kerana projek perlombongan telah menjadi kontroversi.
“Pihak pembangkang bising. Kamu senyap dulu, jangan kelam-kabut. Ketua menteri kena bantai kiri kanan,” katanya.
Apabila pemberi maklumat bertanya jika "dana" juga perlu “KIV” (disimpan dahulu), menteri menjawab: “Ya, ya, ya, KIV dulu. Jangan ambil risiko.”
Pemberi maklumat kemudian memberitahu menteri bahawa dia telah serah “RM300,000 pertama”.
“Bos saya kata ini perkara kecil, KIV,” tambahnya, yang dijawab Masidi: “Ya.”
Apabila ditanya jika perkara itu “ngam”, Adun Karanaan itu bersetuju: “Ngam.”
Sementara itu dalam reaksi segeranya, Masidi berkata, dia tidak mengingati perbualan tersebut.
Sebaliknya kata Masidi dia teringat pemberi maklumat terbabit menawarkan untuk "menderma kepada parti" namun berpendapat tindakan tersebut adalah tidak perlu.
“Tiada wang berjumlah RM300,000 diserahkan melalui pegawai khas saya,” katanya kepada Malaysiakini.
Dalam video yang sama, pemberi maklumat bertemu pembantu menteri, yang mengesahkan bahawa RM300,000 telah diberikan.
“Saya janji beri RM3 juta (kepada menteri) untuk lesen penerokaan ini. Saya sudah buat bayaran pertama RM300,000. Jadi bakinya RM2.7 juta.
“Kamu ada di pejabat (menteri) waktu saya bawa beg (berisi wang) itu. Saya serah pada menteri?” katanya, dan pembantu itu mengiyakan.
Pembantu itu kemudian meminta pemberi maklumat untuk “siapkan tambahan RM1 juta lagi”.
Video 2: ‘RM500k secara ansuran’, ‘KM tahu saya dapat’
Rakaman ini melibatkan Adun Sindumin, Yusof Yacob, yang sebelum ini menyalahkan kecerdasan buatan (AI) apabila ditanya tentang klip audio 17 saat yang diserahkan pemberi maklumat kepada SPRM dan didakwa menyerupai suaranya.
Menurut video tersebut, rakaman dipercayai berlaku di Sutera Golf and Country Club, Kota Kinabalu, pada 3 Januari tahun ini.
Pemberi maklumat mengingatkan Adun, yang juga pengerusi Qazanah Sabah Berhad, mengenai janjinya untuk mengembalikan RM500,000 secara berperingkat.
“Ya, mana boleh saya bayar balik sekali gus, kamu beri saya secara ansuran juga. RM200,000, RM200,000 dan RM150,000,” jawab Yusof.
Pemberi maklumat kemudian membetulkannya, menyatakan bahawa jumlahnya “RM500,000”.
“RM200,000, RM200,000, RM100,000,” jelasnya.
Yusof kemudian berkata bahawa dia telah menggunakan wang itu untuk mesyuarat bahagian yang dianjurkannya secara “besar-besaran”.
Dalam perbualan mereka, pemberi maklumat mencadangkan bahawa Ketua Menteri Hajiji Noor mungkin tidak senang kerana Adun tidak mengisytihar kepadanya.
“Saya dengar mereka kata Hajiji marah, YB (Adun) tak isytihar pada dia,” katanya, bertanya kepada Yusof jika dia sudah mengisytiharkan perkara itu.
“Saya ada beritahu (Hajiji), ‘tolong bahagian’. Itu saja… Saya tidak beritahu dia jumlahnya,” jawab bekas pemimpin Umno itu, yang kini sebahagian daripada GRS.
Pemberi maklumat kemudian berkata: “Jangan kata dia tidak tahu kamu dapat sesuatu.”
“Dia tahu, tahu,” jawab Adun berusia 69 tahun itu.
Menurut pemberi maklumat, “hadiah” yang dimaksudkan dipercayai merujuk kepada lesen penerokaan mineral.
Dalam rakaman itu, Yusof juga menyebut bahawa Hajiji telah “menandatangani” perjanjian antara pemberi maklumat dan dirinya.
“Saya jumpa KM, tandatangan, OK. Masuk SMM (Sabah Mineral Management). Selepas itu, untuk kelulusan saya jumpa dia (Hajiji) lagi. Ketika kita bertemu, saya beritahu dia saya ada bahagian di situ.
“Saya Whatsapp dia, kamu nampak itu,” tambahnya.
Rakaman itu juga memaparkan perbualan antara pemberi maklumat dan individu bernama “Fong” (yang dalam video tersebut didakwa sebagai proksi Yusof).
Fong menasihatkan pemberi maklumat agar tidak meminta wang tersebut kembali kerana ini boleh menjejaskan hubungan masa depan.
Pemberi maklumat kemudian menceritakan bahawa Fong telah diberikan RM200,000 secara tunai pada 28 April 2023, dan Fong mengangguk.
“Kali pertama, dia ambil RM200,000 daripada saya pada 6 Mac 2023, pembayaran kedua diserahkan kepada kamu pada 28 April… dan kemudian RM100,000 diserahkan kepadanya pada 12 Julai 2023,” tambah pemberi maklumat.
Dia kemudian bertanya kepada Fong jika dia telah menyerahkan keseluruhan RM200,000 itu, dan Fong menjawab bahawa dia tidak menyentuh walau satu sen pun.
Berkaitan:
Video Sabah (2): ‘RM450k untuk bayar hutang’, ‘Saya boleh pulangkan RM500k’
Video Sabah (3): 'RM400k tunai', 'RM360k sikit’