Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini mengguhkan perbicaraan tuntutan mutaah dan tunggakan nafkah dikemukakan Sova Ali, 41, terhadap bekas suaminya, Azlan Man.
Mahkamah kemudian memberikan tempoh masa kepada bekas Menteri Besar Perlis itu dan Sova menyelesaikan tuntutan berkenaan secara harmoni.
Peguam syarie yang mewakili Sova, Zainul Rijal Abu Bakar, memaklumkan perbicaraan hari ini ditangguhkan selepas pihak defendan (Azlan) membuat tawaran kepada tuntutan plantif.
"Hari ini ditetapkan sambung bicara dengan pihak defendan menyoal balas plantif, tetapi ditangguhkan sebentar tadi apabila ada tawaran yang dikemukakan kepada plantif.
"Plantif pula memberi tawaran balas kepada amaun yang dikemukakan itu.
"Pihak defendan perlukan perbincangan lanjut mengenai tawaran balas yang dikemukan (plantif)," katanya kepada media di Mahkamah Syariah Shah Alam hari ini.
Azlan diwakili peguam syarie Akberdin Abdul Kader.
Sova memfailkan tuntutan mutaah dan nafkah berjumlah RM15.34 juta pada Nov 2022.
Wanita warga Indonesia itu membuat tuntutan berkenaan selepas mendakwa dia diceraikan tanpa sebab dan tanpa kebenaran mahkamah.
Turut dipohon ialah tuntutan nafkah tertunggak sebanyak RM344,250 kerana dia mendakwa tidak diberikan nafkah semasa dalam perkahwinan bagi tempoh tertentu.
Sementara itu Akberdin berkata memang menjadi kebiasaan apabila sesuatu pertikaian berlangsung akan ada usaha untuk menyelesaikan isu berkenaan secara baik.
"Hakim pun bersetuju, sebab itu kita ambil tarikh baru. Kalau berjaya (selesai secara baik) kita akan rekod (di mahkamah)," katanya.
Hakim Syarie, Zainal Abidin Kusmin, bersetuju dengan permohonan peguam kedua-dua belah pihak dan bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan kepada 16 Jan tahun hadapan.
Sebelum membuat keputusan untuk menangguh prosiding, hakim menasihati kedua-dua belah pihak agar menyelesaikan kes berkenaan secara menang-menang.
"Ambil tindakan menang-menang, bermaksud kalau tak dapat keuntungan besar, tapi ada untung juga, kalau menanggung kerugian bukan kerugian besar, saling berlapang dada.
"Mahkamah bersetuju untuk beri peluang kepada pihak plantif dan defendan dibantu peguam masing-masing untuk menyelesaikannya secara islah," katanya.