Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Khalid persoal pertukaran hak milik tapak balai polis di Taman Desa

Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mempersoalkan siapa pihak yang bertanggungjawab menyerahkan pemilikan tanah rizab untuk balai polis di Taman Desa, Kuala Lumpur kepada pemaju.

Dia yang juga Pengerusi Amanah Wilayah Persekutuan berkata ia menjadi persoalan selepas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, mendedahkan bahawa Kementerian Dalam Negeri (KDN) sendiri tidak bersetuju tanah tersebut diserahkan kepada pemaju dan diberikan tanah gantian.

Kata Khalid, jawapan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkenaan isu itu juga dilihat mengelirukan.

"Ia jadi tanda tanya - siapa yang cadangkan idea tersebut? Siapa cadang tanah itu diserahkan kepada pemaju?

"Kalau idea itu tidak datang daripada PDRM (Polis Diraja Malaysia), mungkin ada pihak lain yang berminat dengannya, iaitu pemaju.

"Penduduk dan ahli Parlimen pula tidak dilibatkan, tiba-tiba tapak balai polis tersebut sudah ada kebenaran merancang," katanya semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu, dalam perbahasan di Dewan Rakyat sebelum ini Kok membangkitkan isu KDN dan PDRM tidak setuju untuk lot itu dijual kepada pihak swasta.

Hal itu kerana, dakwa Kok, KDN memang mempunyai rancangan untuk membangunkan Balai Polis Brickfields di lot tersebut.

Menurutnya lagi, berdasarkan jawapan bertulis yang diterima menyatakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Pesekutuan Kuala Lumpur bertarikh 27 Jun lalu bersetuju meluluskan permohonan pemberimilikan tanah di Lot 54780, Taman Desa itu kepada syarikat swasta untuk dibangunkan kondominium.

Tanah tersebut seluas 0.86 ekar

Juteru, Kok menyeru kerajaan campur tangan untuk membatalkan keputusan pemberimilikan dan memulangkan tanah rizab polis kepada KDN.

Khalid berkata jika keputusan pemberimilikan itu dibuat berdasarkan cadangan pemaju, ia sekali gus mengetepikan suara KDN dan PDRM.

Menurut bekas Ahli Parlimen Shah Alam lagi, dia beranggapan tindakan tersebut merupakan satu langkah yang tidak betul, apatah lagi apabila pertukaran hak milik berlaku tanpa proses perbicangan yang telus antara pihak berkepentingan.

"Jika perancangan bandar dah ada tetapi kemudian ditukar kepada pemaju, ini tak betul.

"Ini membuka pintu luas kepada amalan rasuah," katanya.

Cuma idea spontan

Sementara itu, mengulas mengenai cadangan menukar semula nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada nama asalnya iaitu Universiti Pertanian Malaysia, Khalid berkata cadangan itu merupakan idea spontan bagi menyokong cadangan mewujudkan universiti memfokuskan bidang pertanian.

Jelas Khalid, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu yang juga presiden Amanah yang membuat cadangan itu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan pengurusan UPM yang menolak cadangan berkenaan.

"Cuma point yang ingin disampaikan beliau dalam dunia moden, pertanian adalah satu perkara penting dan ada teknologi dalam industri pertanian.

"Maka beliau bagi pandangan perlu ada universiti pertanian tapi cadangan UPM itu merupakan idea spontan dan apabila ada teguran daripada Sultan Selangor maka cadangan itu telah ditarik balik," katanya.

Khalid dalam sidang media di Kuala Lumpur hari ini

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum ini menitahkan agar nama UPM dikekalkan.

Baginda bertitah bahawasanya Lembaga Pentadbir UPM serta baginda selaku Canselor tidak terlebih dahulu dirujuk berkaitan sebarang cadangan pertukaran nama universiti berkenaan.

Sultan Sharafuddin dalam titah ucapannya juga menegaskan nama UPM perlu dikekalkan, kerana baginda telah sebelum ini melancarkan jenama PUTRA yang membawa maksud ‘Pertanian untuk Rakyat’.

Titah baginda, nama UPM juga adalah bersempena nama Perdana Menteri Pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-haj.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Khalid turut menyatakan rasa kecewa terhadap kenyataan Zaliha berhubung tiada cadangan untuk meminda Akta Ibu Kota 1960 mengenai pelantikan anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

Kata Khalid sebelum ini PH membuat resolusi agar pelantikan anggota PBT bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dibuat dengan kaedah yang baru.

Menurutnya Amanah kecewa dan dukacita dengan kenyataan Zaliha bahawa pelantikan anggota penasihat DBKL memadai dengan melalui proses sedia ada.

"Kami harap Menteri Wilayah Persekutuan lebih terbuka untuk menyokong pindaan yang akan dibuat ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS