Paling Popular
Terkini
4

PARLIMEN l Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal meminta semua pihak terlibat dengan bantuan mangsa banjir di Kelantan, Terengganu dan Kedah supaya melibatkan wakil rakyat kawasan masing-masing.

Katanya, ini bagi mengelakkan pembaziran.

"Kalau mana ada mana-mana pihak kerajaan, JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat), NGO dan NGI (pertubuhan atau individu bukan kerajaan) yang membantu, saya syorkan tolong hubungi wakil rakyat yang berada di sana.

“Kami wakil rakyat lebih mengetahui apa yang sedang berlaku di bawah sana.

"Kadang-kadang kita nak beri bantuan baguslah kerana kita nak mileage dan sebagainya. Tapi, kita bagi benda yang terlebih banyak macam makanan, membazir buang begitu sahaja.

"Jadi, saya minta mana-mana pihak termasuk kerajaan tolong hubungi kami. Kalau kami tidak libatkan secara langsung, saya fikir kita akan membazir banyak sumber yang boleh digunakan untuk membantu rakyat, " kata pada sidang media di parlimen hari ini.

Terdahulu, Wan Fayshal dikritik dalam media sosial selepas didakwa memberi bantuan makanan kering yang tidak mencukupinya berbanding pempengaruh dan usahawan popular, Khairul Aming.

"Yang seorang itu nampak memang kerja keras dan ikhlas demi nak membantu mangsa banjir. Yang seorang lagi hanya melepaskan batuk di tangga demi sesuap konten," kata seorang pengguna media sosial di laman X.

Sementara itu, Wan Fayshal juga menggesa perdana menteri Anwar Ibrahim memberi peruntukan dana terus kepada wakil rakyat agar mempercepatkan bantuan kepada rakyat.

"Kami menuntut jasa baik perdana menteri, tolonglah sampaikan bantuan peruntukan terus kepada ahli parlimen yang berdepan banjir teruk.

"Kalau kita tak beri bantuan kepada ahli parlimen mungkin perkara-perkara yang boleh diselesaikan dalam seminggu akan berlarutan sebulan karenah birokrasi.

"Wakil rakyat ini pemudah cara bantu rakyat di bawah. Kalau wakil rakyat dikesampingkan macam mana bantu rakyat, kerajaan akan dapat nama buruk. Ini bukan masa buat politik, kita mahu keadilan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim mempersoalkan peraturan kerajaan dalam memindahkan mangsa banjir.

"Dulu saya menteri yang mengasaskan Nadma, kita telah meletakkan orang boleh berpindah dua hari sebelum banjir, atau pun sehari sebelum banjir.

"Tapi, saya melihat ini berlaku ada di beberapa tempat sekarang, selepas berlaku banjir dan polis mari tengok dulu baru boleh pindah, ini peraturan mana?" soalnya.

"Jadi, saya nak beritahu perbuatan untuk polis mengesahkan baru boleh pindah itu salah.Sebab kita boleh pindah dua hari sebelum banjir," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
4
ADS