Dalam perkembangan terkini skandal rasuah yang didakwa berlaku di Sabah, pemberi maklumat mendedahkan rakaman video penuh yang melibatkan beberapa ahli Dewan Undangan Negeri.
Pemberi maklumat mendakwa video itu merakam perbincangan mengenai pemulangan wang suapan yang diberikan kepada ahli politik untuk mendapatkan sokongan bagi permohonan lesen penerokaan perlombongan.
Rakaman tersebut, yang dibuat pada Januari tahun ini, berlaku selepas pembatalan lesen itu.
Pendedahan video-video ini dibuat tidak lama selepas peguam terkenal Muhammad Shafee Abdullah mengumumkan penglibatannya dalam kes ini.
Shafee, yang mewakili pemberi maklumat secara pro bono (sukarela demi kepentingan awam), mahu menetapkan duluan untuk melindungi pemberi maklumat dalam kes berprofil tinggi.
Dalam kenyataannya kepada Malaysiakini, Shafee berkata anak guamnya memilih untuk mendedahkan rakaman penuh setelah menerima respons mengecewakan daripada pihak berkuasa mengenai perlindungan bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
“Anak guam saya berharap ini dapat menonjolkan betapa seriusnya situasi ini,” katanya.
Ketika ditanya mengenai dakwaan bahawa pemberi maklumat mungkin disokong oleh ahli politik yang mempunyai kepentingan tertentu, Shafee menjawab:
“Saya tiada maklumat mengenainya.”
“Saya hanya tahu undang-undang. Dan bawah undang-undang, konspirasi politik tidak boleh digunakan untuk menghalalkan tindakan rasuah. Persoalan kritikalnya adalah sama ada ahli politik yang diamanahkan menjaga kepentingan awam menerima rasuah.
“Adakah ahli politik menyalahgunakan sumber negeri untuk kepentingan sendiri dan menawarkan sumber tersebut sebagai ‘hadiah’ untuk mendapatkan sokongan?” tambahnya.
Ketika ditanya sama ada pendedahan rakaman itu akan membolehkan anak guamnya didakwa di mahkamah, Shafee berkata tidak kerana identitinya—baik muka mahupun suara—tidak dikenal pasti.
“Walaupun anak guam saya ditangkap, tidak akan ada saksi untuk menyokong pendakwaan. Saya tidak rasa mereka yang menerima rasuah akan secara sukarela mengaku. Ini mewujudkan keadaan yang rumit,” jelasnya.
Kenapa dedah pada media, bukan SPRM?
Shafee menekankan bahawa pihak berkuasa perlu memutuskan apa yang lebih penting dari segi kepentingan awam dan tanggungjawab mereka.
“Adakah mereka patut mendakwa seorang ahli perniagaan yang menawarkan rasuah, atau sepatutnya memberi fokus untuk membanteras ahli politik korup yang menyalahgunakan jawatan awam?
“Tanpa pendirian yang jelas, pemberi dan penerima tidak akan mengaku bersalah, dan kes itu akan gagal. Jika ini hasil yang diinginkan, pihak berkuasa dan kerajaan mesti berterus terang mengenainya,” tambahnya.
Ketika ditanya mengapa pemberi maklumat memilih untuk mendedahkan video kepada media dan bukan SPRM, yang berjanji untuk meneliti permintaannya, Shafee mengaitkannya dengan defisit kepercayaan.
“Kurangnya keyakinan awam terhadap institusi negara sudah didokumentasikan dengan baik. Malah Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah lama mendakwa dirinya menjadi mangsa manipulasi jentera kerajaan. Bekas perdana menteri lain, termasuk Dr Mahathir Mohamad, juga pernah membuat dakwaan serupa.
“Anak guam saya takut menerima layanan yang sama. Jika ketidakpercayaan seperti itu boleh menjejaskan pemimpin politik tertinggi, bagaimana seorang peniaga biasa boleh merasa selamat?
“Apabila kepercayaan terhakis, orang beralih kepada media, berharap media memainkan peranannya sebagai kuasa keempat untuk memastikan dakwaan seperti ini tidak diabaikan,” tambahnya.
Pemberi maklumat juga memberikan salinan dokumen berkaitan kepada Malaysiakini untuk menyokong dakwaannya. Dia juga mendakwa memiliki lebih banyak video dan tangkapan skrin mesej WhatsApp.
Terdahulu, pemberi maklumat mendedahkan empat video, dua daripadanya—melibatkan Timbalan Ketua Menteri II Shahelmey Yahya dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk Mohd Arsad Bistari—yang telah disunting.
Dua lagi video penuh adalah mengenai bekas ketua eksekutif Sabah Mineral Management (SMM) Jontih Enggihon dan Adun Kemabong Rubin Balang.
Pemberi maklumat menjelaskan bahawa dia tidak menawarkan rasuah kepada Rubin, dan video tersebut mendokumentasikan rundingan mereka untuk menggunakan syarikat milik anak-anak Adun itu bagi mendapatkan lesen eksplorasi perlombongan.
Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor mendakwa video-video tersebut bertujuan untuk mencemarkan dan melemahkan kerajaannya.
Dia juga berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada SPRM tetapi menegaskan bahawa pemberi maklumat, yang motifnya dipersoalkan, perlu ditangkap dan disiasat.
Pendedah maklumat itu memberitahu Malaysiakini bahawa SPRM belum menghubungi walaupun sudah merakamkan kenyataan beberapa Adun.