BICARA 1MDB l Bekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan bahawa dia tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.
ekas perdana menteri Najib Razak memaklumkan bahawa dia tidak pernah menjejakkan kaki ke rumah ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.
Najib yang juga adalah bekas menteri kewangan menegaskan bahawa beberapa bekas anggota pengurusan 1MDB yang mengakui telah melawat rumah Low, dan dengan itu merupakan sebahagian daripada konspirasi untuk melakukan salah laku 1MDB.
Semasa perbicaraan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram RM2.27 bilion hari ini, Najib menegaskan bahawa saksi penting, seperti bekas ketua pegawai eksekutif (CEO) dana pelaburan negara itu, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, tidak pernah menyemak semula dengannya jika e-mel tertentu dan percakapan daripada Low adalah daripada tertuduh.
Najib juga menyasarkan kesahihan keterangan saksi pendakwaan lain, seperti bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman, bekas peguam Jasmine Loo, bekas ketua pegawai kewangan Azmi Tahir, dan bekas pegawai khasnya, Amhari Efendi Nazaruddin.
“Untuk rekod, saya tidak pernah ke kediaman Jho Low dan tidak tahu ia berada di Jalan Kia Peng, namun nampaknya beberapa saksi pendakwaan daripada pengurusan 1MDB - Shahrol, Jasmine, Azmi, dan Hazem - dan bekas pegawai saya, Amhari, yang kerap mengunjungi kediamannya.
"Ini menunjukkan dengan jelas konspirasi individu-individu ini dengan Jho Low," kata Najib ketika memberikan keterangan dalam pembelaannya.
Sambil menolak keterangan Shahrol mengenai kehadiran Low di rumah bekas perdana menteri itu di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, Najib berkata dia tidak tahu-menahu tentang dakwaan saksi bahawa wujud persekitaran kerja secara 'work in silo' di 1MDB.
Bagaimanapun, Najib menegaskan bahawa dia tidak akan membenarkan persekitaran kerja seumpama itu sekiranya ia benar-benar wujud di 1MDB.
"Kerahsiaan menyuburkan rasuah dalam mana-mana institusi dan menggalakkan perlakuan penipuan dalam mana-mana korporat. Tambahan pula, berdasarkan keterangan saksi-saksi pendakwaan, adalah jelas bahawa tiada pelaksanaan sebenar susunan kerja secara 'work in silo' di 1MDB.
"Sebaliknya, keterangan saksi-saksi menunjukkan adanya skim jenayah terancang yang dilaksanakan tanpa pengetahuan saya. Saksi-saksi pendakwaan seperti Shahrol, Jasmine, Azmi, dan Hazem sering bekerjasama dalam urusniaga sama, walaupun mereka mendakwa bekerja secara berasingan.
"Ini membuktikan usaha yang sengaja dan kolaboratif antara mereka, yang bercanggah dengan dakwaan bahawa ia adalah operasi yang bebas dan berasingan.
"Saya tegaskan sekali lagi bahawa dakwaan Shahrol tidak berasas, dan tindakannya - serta tindakan pegawai 1MDB lain - menunjukkan skim jenayah yang dirancang sepenuhnya oleh Jho Low tanpa pengetahuan atau penglibatan saya," kata Najib kepada hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah.
Najib mohon bela diri
Pada 30 Oktober lalu, mahkamah jenayah memerintahkan Najib untuk membela diri atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana RM2.27 bilion daripada 1MDB.
Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujudnya kes prima facie terhadap Najib, yang juga bekas menteri mewangan, berkaitan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim mendapati Najib perlu menjawab pertuduhan tersebut berdasarkan keterangan daripada 50 saksi pendakwaan sepanjang prosiding yang berlangsung selama enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Najib pertama kali didakwa pada 2018.
Menurut pendakwaan, bahawa Jho Low terlibat dalam salah laku kewangan di 1MDB atas arahan Najib.
Bagaimanapun, Najib, bekas ahli Parlimen Pekan, menafikan mengetahui sebarang salah laku di dana pelaburan negara itu dan mendakwa penyelewengan tersebut dilakukan sepenuhnya oleh Jho Low bersama anggota pengurusan 1MDB tanpa pengetahuannya.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes salah guna kuasa melibatkan dana RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Dia juga sedang menghadapi perbicaraan jenayah berasingan melibatkan pengubahan wang haram RM27 juta daripada SRC.
Sebelum ini, Najib telah dibebaskan dalam kes jenayah lain berkaitan laporan audit 1MDB.
Pada 27 November, dia turut diberi pelepasan tanpa pembebasan dalam kes pecah amanah jenayah melibatkan RM6.6 bilion dana International Petroleum Investment Company.