ULASAN | Dalam kertas kerja bertajuk "Madani Untuk Siapa?" yang disiarkan oleh portal berita Malaysiakini pada 1 Disember lalu, Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Jeyakumar Devaraj, menyerang dasar dan pelaksanaan agenda kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dengan tuduhan bahawa pendekatan kerajaan gagal menangani isu ekonomi, keadilan sosial dan penjajahan ekonomi era moden.
Jeyakumar mendakwa, walaupun Anwar telah mengumumkan hasrat beliau untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang inklusif di mana rakyat miskin akan dilindungi dan dibantu, tetapi masalah-masalah ekonomi yang dihadapi oleh orang ramai – iaitu B40 dan M40 – tidak berkurangan dalam tempoh dua tahun yang lalu.
Tuduhan ini bukan sahaja tidak tepat, tetapi juga meminggirkan usaha kerajaan yang jelas memberikan tumpuan kepada pemulihan ekonomi rakyat. Antara inisiatif yang telah dilaksanakan adalah peningkatan gaji minimum, peluasan perlindungan sosial, dan pelaburan strategik dalam pendidikan serta kemudahan kesihatan.
Sikap beliau yang hanya menuding jari tanpa mengiktiraf langkah-langkah tersebut mencerminkan pendekatan berat sebelah yang tidak mengambil kira cabaran sebenar, seperti kedudukan fiskal negara dan pengaruh ekonomi global.
Jeyakumar secara lantang menyatakan PSM tidak berpuas hati dengan prestasi Kerajaan Madani yang dikatakan langsung tidak menyedari hakikat bahawa satu sistem penjajahan baru telah diwujudkan oleh dasar-dasar neoliberal yang dilaksanakan dalam tempoh 40 tahun yang lalu.
Beliau mengecam kerajaan Madani kerana menjadikan usaha menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) sebagai indeks prestasi utama (KPI) utama dan terus menandatangani perjanjian ekonomi seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan mengikat tangan kerajaan dan menyekat kedaulatan negara.
Namun, beliau gagal memahami bahawa globalisasi adalah realiti ekonomi moden yang tidak dapat dielakkan. FDI bukan sekadar alat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi, tetapi juga pemacu kepada peluang pekerjaan, teknologi baharu, dan pembangunan infrastruktur. Cadangan Jeyakumar untuk "melawan penjajahan ekonomi" dengan mengabaikan FDI dan mengutamakan pendekatan proteksionisme akan meminggirkan Malaysia daripada arus perdana ekonomi global, sekaligus merugikan rakyat.
Kritikan tanpa penyelesaian realistik
Meskipun kritikan beliau lantang, Jeyakumar tidak menyediakan alternatif yang konkrit dan boleh dilaksanakan. Sebagai contoh, beliau menyeru gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 tanpa menjelaskan kesannya kepada sektor perniagaan kecil dan sederhana (PKS), yang merupakan penyumbang utama ekonomi negara. Cadangan ini, jika dilaksanakan tanpa strategi menyeluruh, berpotensi meningkatkan kos operasi, menyebabkan pengangguran dan melemahkan daya saing perniagaan tempatan.
Jeyakumar juga menyeru ke arah menghidupkan kembali idea penting dari Konferensi Bandung 1955 ("Bandung Kedua") untuk membebaskan negara-negara Dunia Ketiga daripada cengkaman ekonomi Barat. Beliau mendakwa pemimpin banyak negara Asia dan Afrika, termasuk pemimpin Madani kita, telah melupakan visi Bandung. Gagasan ini terlalu utopia tanpa mekanisme praktikal serta mengenepikan usaha-usaha kerjasama yang telah dilakukan oleh pemimpin Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) selama ini.
Tambahan pula, kenyataan beliau bahawa pemimpin Kerajaan Madani "tertipu" oleh ideologi Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dengan minda mereka penuh dengan kebohongan yang dibawa oleh institusi-institusi yang wujud untuk mengekalkan dominasi korporat Barat terbesar terhadap seluruh dunia ini adalah serangan peribadi yang tidak bertanggungjawab dan merendahkan usaha serius yang diambil oleh kerajaan untuk mengimbangi keperluan pembangunan dan keterbatasan ekonomi.
Tuduhan bahawa kenyataan Anwar dan kabinetnya berkaitan dengan membasmi kemiskinan dan mewujudkan masyarakat yang inklusif adalah sekadar retorik sahaja kerana bercanggah dengan struktur dan hala tuju ekonomi yang sedia ada adalah tidak adil dan menunjukkan kurangnya penghargaan terhadap usaha yang telah dilakukan.
Kerajaan Madani membelanjakan RM20 bilion hingga RM22 bilion setahun untuk program dan inisiatif bagi membasmi kemiskinan. Program-program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), inisiatif perumahan mampu milik dan pengembangan akses kepada pendidikan dan kesihatan berkualiti adalah bukti komitmen kerajaan terhadap rakyat biasa. Kritikan Jeyakumar seolah-olah menafikan kesemua pencapaian ini dan hanya memberikan fokus kepada kelemahan tanpa cadangan membina.
Pendekatan ideologikal PSM yang hanya menyalahkan neoliberalisme menunjukkan kegagalan mereka untuk menyesuaikan diri dengan cabaran dan peluang dunia moden. Retorik anti-neoliberal perlu diseimbangkan dengan kesedaran tentang realiti globalisasi. Bukan mudah untuk keluar dari sistem ekonomi global yang telah mengakar. Oleh itu, pendekatan yang lebih strategik, praktikal dan berperingkat diperlukan, dengan mengambil kira keterbatasan politik, ekonomi dan sosial.
Dalam era globalisasi, pendekatan ekonomi proteksionis yang dicadangkan Jeyakumar tidak lagi relevan dan akan menyebabkan Malaysia ketinggalan. Beliau juga tidak memberikan perhatian kepada keperluan mendesak untuk mengekalkan kestabilan politik, menangani polarisasi etnik dan reformasi institusi di mana semua ini adalah prasyarat untuk pelaksanaan dasar progresif.
Ringkasnya, tulisan Jeyakumar adalah serangan melulu yang mengabaikan realiti ekonomi dan memandang remeh usaha Kerajaan Madani tanpa memberikan solusi praktikal. Sebaliknya, Kerajaan Madani telah menunjukkan keberanian untuk membuat reformasi dalam konteks ekonomi global yang mencabar. Tuduhan bahawa dasar kerajaan hanyalah "retorik" tidak berasas dan mencerminkan pandangan yang terlalu ideologikal dan dangkal.
PSM perlu mengambil pendekatan yang lebih bertanggungjawab dengan mengemukakan cadangan yang pragmatik, bukannya terus mengitar semula retorik anti-neoliberal yang sudah usang dan tidak sesuai dengan zaman. Kritikan yang bersifat membina dan berlandaskan fakta adalah lebih membantu daripada serangan yang hanya bertujuan menonjolkan ideologi semata-mata.
RUSDI OMAR adalah Dekan di Pusat Pengajian Siswazah Kerajaan Ghazali Shafie (GSGSG), Universiti Utara Malaysia (UUM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.