PULASAN | Secara tiba-tiba rasa rimas menyerbu dada apabila sehari dua ini medan media sosial disibukkan dengan benda-benda yang kurang berfaedah serta tidak membina.
Dan secara tiba-tiba juga ada watak-watak baru yang mendadak menjadi pakar ilmu filem. Padahal kita sudah ada ramai pakar yang berkaliber dalam bidang tersebut.
Buktinya, sudah entah berapa kali kita membaca berita mengenai impian negara menggegarkan dunia di Oscar dan Cannes. Boleh dikatakan saban tahun kita mendengar atau membaca berita akan yakinnya negara ini mencipta sejarah.
Dalam keadaan sangat yakin itulah kita bertelagah tentang filem pendek lakonan hebat beberapa watak yang dikenali ramai.
Nampaknya ia sebuah karya yang dibina dari awal sebagai sebuah maha karya membanggakan. Jika ada persengketaan yang muncul daripadanya, ia adalah lumrah.
Sebuah karya seni yang sangat baik mustahil dibidankan untuk membawa harmoni sebaliknya ia dipersiapkan untuk pertengkaran, atau sekurang-kurangnya perbalahan.
Hidup tanpa berbalah memang membosankan.
Dari goncangan itulah nanti akan lebih ramai mata dan lidah - dan barulah hati serta akal fikiran - tertumpu. Secara lihai dan terancang, mesej sebenar itu akan dapat disebarluaskan.
Tetapi seperti yang saya zahirkan pada awal tadi, polemik yang berlangsung sekarang bukan saja merimaskan, bahkan tidak perlu. Lakonan demi lakonan dan kepura-puraan dalam kehidupan seharian bukanlah asing kepada kita.
Suka atau tidak, sebaik saja hari bermula, kita sudah berdepan dengan sekian banyak lakonan. Ia mungkin bermula dengan tatalan pada skrin telefon genggam apabila kita membaca mesej-mesej yang menghujani kumpulan sembang WhatsApp.
Kemudian kita pun melawat media sosial yang kini menjadi syarat wajib untuk hidup bermakna. Sama ada Facebook, X, TikTok, Threads atau apa saja, ia dipenuhi dengan drama dan lakonan.
Kemaruk publisiti
Kadang-kadang drama yang dipersembahkan menghiburkan, tetapi pada ketika yang lain ia adalah pengalaman yang jelik.
Hal itu kerana dari semasa ke semasa minda kita disuap dengan hantaran kandungan yang ditiru, diciplak, diulang-ulang, dirancang lebih awal dan sangat fake.
Ketika itulah kita memerlukan filem atau drama yang benar-benar genuine dari segi penghayatan, mesej dan penceritaan.
Kekontangan itu menghasilkan dahaga yang parah buat masyarakat. Mujurlah ia segera dijawab dengan tuntas oleh beberapa pihak yang amat bertanggungjawab.
Pertama, ahli politik yang kemaruk publisiti; dan kedua dan terkini, agamawan tertentu yang membawa 'perjuangan' masing-masing. Dan mereka melakukannya dengan penuh bergaya!
Perkembangan itu pula bolehlah dikatakan berlaku tepat pada masanya. Anugerah Oscar akan diadakan pada awal Mac tahun depan, manakala Festival Filem Cannes menyusul kira-kira dua bulan kemudian.
Pihak yang berkenaan bolehlah mula membuat penelitian dan mencalonkan mana-mana drama atau filem - panjang atau pendek - untuk dicalonkan di pentas berprestij itu.
Ustaz paling syahdu
Di peringkat domestik pula, selain festival filem tahunan, organisasi media bolehlah menganjurkan apa-apa anugerah kepada mereka.
Atau kalau sudah ada anugerah tahunan dianjurkan, sediakanlah kategori khusus untuk wakil rakyat yang mampu menampilkan lakonan paling mantap, misalnya.
Terjumpa wanita yang tak pasal-pasal kehabisan minyak motosikal di tepi jalan lalu berggegaslah si YB itu membantu - ini adalah suatu pengalaman sinematografi yang sangat luar biasa. Ia wajib dihargai dan diberi anugerah.
Untuk konteks yang lebih terkini, lakonan menziarahi mangsa banjir atau mengedarkan makanan kepada orang ramai di pusat pemindahan sementara boleh dipertimbangkan.
Atau adakan juga anugerah agamawan yang paling popular, ustaz paling syahdu dan seumpamanya.
Demi memastikan kelangsungan industri perfileman dan lakonan, penting untuk diwujudkan juga anugerah pelakon kategori YB harapan dan agamawan harapan.
Semoga dengan adanya langkah sebegitu usaha kita menggapai Oscar dapat direalisasikan segera.
Kemudian bolehlah kita berbalah semula, lagi dan lagi.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang menggemari filem Mendadak Dangdut.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian Malaysiakini.