Ketua pembangkang Perak, Razman Zakaria memohon maaf kepada Menteri Besar Saarani Mohamad, dipercayai berhubung ucapannya dalam satu perhimpunan di Menara Condong Teluk Intan baru-baru ini.
Razman, yang juga pesuruhjaya PAS Perak, mendakwa ucapannya - yang didakwa menghina Saarani - telah disalah tafsir.
"Saya mohon maaf kepada Yang Amat Berhormat Menteri Besar ‘sahabat saya’.
“Bukan Adun Bercham (Ong Boon Piow) saja yang sayang MB (Menteri Besar), saya lagi sayang (sebab) orang kampung saya,” kata Razman ketika membahaskan Belanjawan Negeri Perak 2025 dalam sidang DUN di Ipoh hari ini.
Ong kemudian mencelah, menyoal jika “sayang tapi kenapa gelar MB sebagai biadab.”
Pun begitu Razman berkata ucapan berkenaan telah “diambil di luar konteks.”
“Awat (kenapa Adun Bercham) emosi sangat?
“Sebab itu YAB MB saya ucap terima kasih. Kalau terasa atas ucapan saya, saya minta maaf.
“Saya tahu dia ‘sahabat saya’. Saya tahu dia (Saarani) agama dia tinggi.
“Saya minta (peruntukan) untuk maahad tahfiz dia bagi, saya minta pula (MB) bagi kereta baru pada ketua pembangkang, mana nak cari (menteri besar begini)," kata Razman lagi.
Saarani semasa membentangkan belanjawan negeri tiga hari lalu meluahkan rasa terkilan kerana pentadbiran Perak digelar "biadab" oleh individu tertentu.
Katanya, pelbagai kejayaan dikecapi kerajaan negeri selama ini bukan saja tidak dihargai malah sebaliknya ditutup dengan "perasaan kebencian."
"Kerajaan ini dihina dengan gelaran ‘kerajaan tidak boleh diharap’.
“Seolah-olah kerajaan yang saya pimpin ini tidak pernah berbuat apa-apa (kebaikan) kepada rakyat.
"Malah, saya sebagai menteri besar pula dilabel dengan cacian 'MB biadab' seolah-olah saya sedang melakukan penindasan dan penganiayaan ke atas rakyat," jelas Saarani lagi.