Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadangan poligami tak masuk akal - MCA
Diterbitkan:  Dec 2, 2024 9:53 PM
Dikemaskini: 1:54 PM

Wanita MCA membidas cadangan seorang Ahli Parlimen Bersatu agar kerajaan menggalakkan poligami untuk menangani kadar kelahiran rendah di negara ini dengan menyifatkan cadangan itu sebagai "tidak masuk akal dan terpisah daripada realiti sosial".

Pengerusinya, Wong You Fong berkata cadangan tersebut tidak praktikal dan boleh menyebabkan lebih banyak masalah sosial dan masalah keluarga yang merugikan pembangunan jangka panjang Malaysia.

Menurutnya walaupun kadar kelahiran tinggi boleh mengurangkan cabaran penduduk menua, namun membesarkan anak-anak juga memerlukan masa dan sumber mencukupi.

“Jika anak-anak tidak dibesarkan atau dididik dengan baik, kualiti pertumbuhan generasi seterusnya akan terjejas teruk.

“Pengabaian sebegini hanya akan menghasilkan lebih banyak masalah sosial dan bukannya menangani cabaran pembangunan negara dengan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

‘Trend berkahwin tak mahu anak’

Ketika perbahasan di parlimen Khamis lalu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Rosol Wahid meminta kerajaan memberikan lebih banyak insentif untuk meningkatkan kadar kelahiran anak, termasuk poligami, bagi mengatasi penurunan kadar kelahiran di Malaysia.

"Trend keluarga hari ini mereka berkahwin tak mahu anak (child free).

“Ini satu trend yang tidak sihat yang berlaku dalam negara. Kedua, wujudnya suasana di mana mereka tidak mahu berkahwin kerana mereka merasakan perkahwinan itu satu beban, yang akhirnya akan menjejaskan produktiviti negara.

"Jadi saya ingin bertanya kepada kementerian, apakah insentif atau dorongan untuk menggalakkan mereka berkahwin dan mempunyai anak agar kita dapat menambah penduduk di negara kita.

"Mungkin ada program galakkan poligami ke,” katanya.

Kadar kesuburan Malaysia menurun sejak 2013.

Populasi kelahiran bagi setiap wanita di Malaysia menurun kepada 1.6 iaitu jauh di bawah paras penggantian 2.1.

Sebagai perbandingan, populasi kelahiran bagi setiap wanita di Malaysia pada 1990 ialah 3.3.

Wong berkata, orang ramai ingin kehidupan yang lebih berkualiti dan keluarga bahagia, bukannya mengorbankan kesejahteraan anak-anak mereka demi mencapai jumlah populasi yang lebih besar.

Dia menggesa kerajaan merangka dasar populasi berdasarkan keperluan sebenar rakyat dan mempromosikan pembangunan mampan berbanding mengambil langkah-langkah tidak praktikal yang merosakkan struktur keluarga dan sosial.

Wong antara lain menggesa kerajaan mengurangkan beban kewangan untuk membesarkan anak dengan meningkatkan elaun penjagaan kanak-kanak dan insentif cukai, serta menyediakan subsidi untuk perkhidmatan penjagaan kanak-kanak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS