SPRM menegaskan pembekuan akaun bank Bersatu tidak dibuat sewenang-wenang sebaliknya tertakluk kepada Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram (Amlaftpuaa) 2001.
Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata sitaan dibuat kerana ia berkaitan dengan siasatan serta pendakwaan, dan ia tidak boleh dilepaskan sehingga selesai perbicaraan.
"Seksyen 50(1) adalah berkenaan dengan penyitaan harta alih dalam institusi kewangan, dan dalam kes ini, mengikut seksyen tersebut, pendakwa raya (DPP) telah menggunakan kuasanya untuk mengarahkan supaya harta alih di institusi kewangan itu disita serta mengarahkan institusi kewangan itu supaya tidak melepaskan atau melupuskan harta alih yang terbabit sehingga perintah itu diubah atau dibatalkan.
"Justeru, tempoh perintah penyitaan yang dibangkitkan itu adalah jelas dinyatakan dalam Seksyen 52A dalam akta yang sama.
“Ia menyatakan sesuatu perintah penyitaan yang dibuat di bawah akta ini hendaklah terhenti berkuat kuasa selepas tamat tempoh 12 bulan dari tarikh perintah penyitaan itu, sekiranya orang yang terhadap perintah itu tidak dipertuduh dengan suatu kesalahan di bawah Akta ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Wan Shaharuddin mengulas kenyataan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin yang menyatakan parti itu mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap SPRM berhubung pembekuan akaun.
Tahun lalu, SPRM membekukan dan menyita beberapa akaun bank yang dikaitkan dengan Bersatu.
Bekas perdana menteri mendakwa adalah tidak salah bagi SPRM untuk terus menyekat akses Bersatu kepada akaun-akaunnya selama lebih 12 bulan.
Muhyiddin telah dituduh bawah Seksyen 4(1)(b) Amlatfpuaa 2001.
Pada 30 Oktober 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman Bersatu tersebut serta menetapkan tarikh perbicaraan pada 24 September 2025.
"Saya berharap orang ramai memahami segala tindakan pihak berkuasa dalam pendakwaan kes ini adalah tertakluk kepada peruntukan akta.
“Dan bagi orang yang dituduh, segala peluang untuk membela diri serta membuktikan dirinya tidak bersalah juga ada tempatnya di sisi undang-undang,” katanya.