Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PH rasa terhina dilarang sambut PM di Terengganu

Pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan BN Terengganu mendakwa mereka dihalang daripada menyambut ketibaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mengadakan lawatan ke lokasi banjir di negeri itu, semalam.

Pengerusi PH Terengganu Mohd Hasbie Muda berkata, mereka terdiri daripada sekitar 40 orang menunggu di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada jam 9.30 pagi.

Bagaimanapun katanya, mereka dimaklumkan tidak dibenarkan masuk untuk bertemu dan mengiring Anwar yang dilaporkan tiba pada jam 10.25 pagi.

"Kami sama-sama menunggu ketibaan perdana menteri yang datang menijau situasi banjir di negeri Terengganu, malangnya kami begitu kesal kerana kepimpinan daripada parti kerajaan perpaduan tidak dibenarkan untuk masuk menyambut perdana menteri.

"Ini satu penghinaan kepada parti-parti kerajaan perpaduan di Terengganu," katanya dalam satu rakaman video yang dikongsi kepada Malaysiakini, hari ini.

Anwar ketika turun padang di Setiu

Turut kelihatan bersama Pengerusi Umno Terengganu, Rozi Mamat dan bekas menteri besar Terengganu, Ahmad Said.

Semalam, Anwar diiringi Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar melawat beberapa pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu selain mengumumkan peruntukan tambahan berjumlah RM25 juta masing-masing kepada Kelantan dan Terengganu.

Mohd Hasbie yang juga seorang ahli Dewan Negara mendakwa, kejadian seumpama itu adalah pertama kali berlaku dalam sejarah selain mendakwa ia merupakan arahan pihak atasan kerajaan negeri.

"Ini pertama kali berlaku dalam sejarah, jadi kita harap kerajaan negeri (Terengganu) tidak mengamalkan politik sebegini. 

“Jadi dalam kita menghadapi bencana ini tidak sepatutnya perkara ini dilakukan, kami amat kesal dan berharap perkara ini tidak berulang di masa akan datang.

"Kita juga difahamkan juga JPKKP (Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan) di kampung-kampung juga tidak diberikan peranan untuk membantu di PPS," katanya.

Tambah ketua pemuda Amanah itu, susulan kejadian itu hanya segelintir pimpinan kerajaan perduan Terengganu yang dapat mengiring Anwar di lokasi-lokasi PPS.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan maklum balas kerajaan negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS