Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perang siber - MP cadang Mindef tubuh rejimen digital
Diterbitkan:  Dec 2, 2024 1:46 PM
Dikemaskini: 5:46 AM

PARLIMEN l Seorang ahli Parlimen kerajaan hari ini mencadangkan Kementerian Pertahanan (Mindef) supaya menubuhkan rejimen digital dengan membabitkan pemain e-sukan bagi berdepan ancaman serangan siber.

Manndzri Nasib (BN-Tenggara) berkata perang siber merupakan isu rentas sempadan yang mampu mewujudkan pelbagai risiko kepada keselamatan negara.

Katanya, kewujudan rejimen berkenaan adalah penting sebagai persiapan awal dalam menghadapi sebarang ancaman tanpa sempadan.

"Tenggara mencadangkan agar ditubuh rejimen digital bukti kerajaan serius bersungguh-sungguh memerangi ancaman negara melalui digital ini dengan menubuhkan rejimen digital ini dengan pelbagai teknologi baru.

"Kita seharusnya melibatkan para belia atau gamers kita yang berminat menyertai rejimen ini," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa di Parlimen, hari ini.

Katanya, kerajaan harus memanfaatkan kepakaran pemain e-sukan yang telah terbukti kemampuan mereka untuk bersama dalam rejimen berkenaan.

Selain itu, dia juga mencadangkan angkatan tentera (ATM) supaya mengadakan liga e-sukan berkaitan taktikal perang bagi mencungkil bakat dalam kalangan belia.

"Mereka ini memiliki kemahiran tinggi mengendali gajet, jari mereka ini gerakan cukup pantas.

"Mungkin boleh mencungkil bakat mereka bukan saja untuk e-sukan tapi bawa ke rejimen digital ini dan mungkin ATM boleh anjurkan Liga e-sukan taktikal perang supaya bakat-bakat ini dapat dikesan," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS