Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Ubi jadi pilihan musim banjir di Dungun
Diterbitkan:  Dec 2, 2024 1:45 PM
Dikemaskini: 5:45 AM

Musim banjir membawa rezeki tambahan buat seorang peniaga ubi di Dungun apabila jualannya telah meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini.

Annuar Al Shadat Kadi, 53, berkata ubi amat digemari ramai semasa musim banjir di kawasan itu kerana ia mudah untuk dimasak, di samping menjadi sumber karbohidrat yang mengenyangkan.

Beliau yang lebih dikenali di Dungun sebagai Nuar Durian berkata sejak banjir mulai melanda sekitar Dungun beberapa minggu lepas, beliau mampu menjual 500 hingga 700 kilogram ubi setiap hari.

“Setiap kali banjir, orang akan tertarik membeli ubi, mereka balik rumah dan masak ubi panas-panas, memang sangat sedap dan mengenyangkan, dan ubi menjadi makanan yang sangat popular ketika cuaca sejuk kerana ia mudah dimasak, sesuai dijadikan hidangan pemanas tubuh.

“Ia juga mudah disimpan khususnya bagi keluarga yang rumah mereka terkesan banjir,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Jalan Bukit Besi di Dungun , yang menawarkan pelbagai jenis buah-buahan dan ubi antaranya ubi kayu, ubi keledek, ubi yakun, dan ubi itik.

Annuar yang sudah mula berniaga sejak berumur enam tahun bagaimanapun berkata pada musim ini bekalan ubi sedikit terjejas kerana kesukaran untuk mendapatkan bekalan stok yang mencukupi.

Bagi seorang anggota polis Zainal Mohd Noah, 58, ubi merupakan antara makanan yang wajib dibeli setiap kali musim banjir kerana rasanya yang lazat dan boleh dijadikan pelbagai jenis hidangan mudah.

“Ubi ini kalau direbus dan makan dengan sambal bilis, parut kelapa dan gula pun sudah lazat. Setiap kali musim hujan atau banjir, memang saya akan beli untuk keluarga saya kerana ia berkhasiat,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS