PARLIMEN l Tindakan Awang Hashim (PN-Pendang) mengikut langkah RSN Rayer (PH-Jelutong) untuk berpantun di Dewan Rakyat pagi tadi mengundang kekecohan.
Ini apabila pantun empat kerat yang dilontar Awang memetik nama DAP sebagai parti yang tidak berintegriti sehingga mengundang kemarahan dalam kalangan ahli Parlimen DAP.
Rayer bangkit membantah pantun yang diutarakan Awang sebelum Chong Zhemin (PH-Kampar) dan S Kesavan (PH-Sungai Siput) turut bangkit mengecam perkara itu.
Mereka menyifatkan pantun Awang sebagai tidak beradab dan menggesa Timbalan Speaker Mohd Shahar Abdullah supaya meminta Awang menarik balik pantun berkenaan.
"Jelutong mula dengan pantun, jadi dia mengajak saya berpantun jugalah,” katanya.
Dia kemudian berpantun:
"Segala demi perjuangan mendapat harta dan kuasa,
Segala maki hamun sudah menjadi suci,
Itulah perjuangan DAP kini dan semasa,
Hilanglah segala prinsip dan integriti."
Dia berkata demikian ketika membangkitkan soalan tambahan di Dewan Rakyat pada sesi soal jawab lisan, hari ini.
Awang mengemukakan soalan tambahan ketika giliran menteri kewangan menjawab soalan yang dibangkitkan.
Rayer terus mendesak supaya Awang menarik balik pantun berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak beradab.
"Boleh berpantun, tapi secara beradab, dulu Muhyiddin (Yassin) kata PAS parti ajaran sesat.
"Saya minta pantun itu ditarik balik," kata Rayer.
Namun, Awang mempertahankan pantunnya tidak memetik nama mana-mana ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat.
"Saya tak sebut nama mana-mana individu tetapi nama parti. Tak boleh ke?" soal Awang.
Chong kemudiannya membidas Awang dengan berkata, bahawa tidak boleh menyebut nama mana-mana parti dengan membuat tuduhan sebegitu.
Ketegangan yang berlaku membawa kepada campur tangan Mohd Shahar yang meminta semua ahli Parlimen bertenang.
Mohd Shahar menyifatkan apa yang dilontarkan Awang hanyalah pantun dan tidak ditujukan kepada mana-mana pihak.
"Saya bagi petua, maksudnya (Pendang) hanya nak tuju pantun, bukan pada mana-mana parti.
“Jadi kedua-dua pihak mesti ambil ini dengan lebih tenang dan berobjektif," katanya meredakan keadaan.
Mohd Shahar seterusnya meminta Awang meneruskan soalan yang ingin dibangkitkan.