Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim soal Muhyiddin: Apa hak Bumiputera yang belum dipenuhi?
Diterbitkan:  Dec 2, 2024 11:45 AM
Dikemaskini: 3:45 AM

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, tampil mengkritik cadangan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin untuk menubuhkan sebuah badan payung seperti Dong Zong bagi memayungi NGO Melayu-Bumiputera.

Katanya, cadangan tersebut mencerminkan salah faham Muhyiddin terhadap fungsi Dong Zong dan keperluan sebenar masyarakat Bumiputera.

Lim Lip Eng, Ahli Parlimen Kepong

Lim menjelaskan bahawa Dong Zong, atau Persekutuan Persatuan-Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia, berperanan untuk mempertahankan hak pendidikan bahasa ibunda masyarakat Cina. Ia bukannya untuk menangani isu-isu ekonomi, sosial, atau agama seperti yang disarankan Muhyiddin.

“Cadangan ini menunjukkan kurangnya pemahaman Muhyiddin terhadap keperluan sebenar Bumiputera.

“Hak-hak Bumiputera telah lama dilindungi oleh pelbagai dasar kerajaan dan institusi seperti Mara,” kata Lim dalam satu kenyataan, hari ini.

Dia turut menekankan bahawa Mara(Majlis Amanah Rakyat) telah ditubuhkan untuk menyokong pendidikan, perniagaan, dan keusahawanan Bumiputera.

Lim turut mempersoalkan keberkesanan Muhyiddin semasa menjadi perdana menteri dalam memperkukuh agensi itu.

“Sebagai perdana menteri sebelum ini, Muhyiddin mempunyai kuasa penuh untuk memperbaiki keberkesanan Mara. Jika ada kelemahan, mengapa ia tidak diperbaiki ketika beliau memegang jawatan?

“Mengapa kini baru muncul cadangan untuk menubuhkan badan baharu?” soal Lim.

Muhyiddin, yang juga presiden Bersatu dan pengerusi Perikatan Nasional (PN), membuat cadangan tersebut semasa Perhimpunan Agung Bersatu baru-baru ini.

Dia berkata bahawa badan itu bertujuan untuk menyelaraskan NGO Melayu-Bumiputera di bawah satu struktur berdaftar, dengan matlamat memperjuangkan kepentingan ekonomi, sosial, agama, dan pendidikan kaum Bumiputera.

Tambahnya, bahawa struktur kepimpinan yang jelas diperlukan agar usaha memperjuangkan kepentingan Melayu-Bumiputera menjadi lebih berkesan. Namun, cadangan itu turut menimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar diperlukan.

Mengulas lanjut, Lim berkata bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha menambah baik sistem sedia ada daripada mencipta badan baharu yang berisiko menjadi redudansi.

“Masalah utama bukanlah ketiadaan badan baharu, tetapi keberkesanan agensi-agensi yang telah wujud sejak dahulu lagi,” katanya.

Muhyiddin turut dilaporkan berkata bahawa badan seperti Dong Zong ini dapat menyatukan pelbagai kumpulan Melayu-Bumiputera yang kini bergerak secara terpisah. Namun, menurut Lim, langkah tersebut lebih mirip sebagai strategi politik untuk mengukuhkan kedudukan Bersatu dan PN.

Dalam ucapannya, Muhyiddin juga mencadangkan sidang meja bulat dinamakan Gagasan Pendamaian Nasional untuk merangka penyelesaian kepada pelbagai isu negara. Namun, Lim berpendapat bahawa cadangan itu hanya sekadar retorik tanpa penyelesaian konkrit.

“Jika Muhyiddin serius mahu memperbetulkan keadaan negara, beliau sepatutnya sudah mengambil langkah sewajarnya ketika berkuasa. Tetapi apa yang kita lihat adalah lebih banyak janji dan kurang tindakan,” tegas Lim.

Cadangan badan baharu ini turut muncul di tengah laporan bahawa beberapa NGO Melayu sedang mempertimbangkan untuk menyertai Bersatu bagi memperkukuhkan parti itu menjelang pilihan raya umum akan datang.

Langkah itu dilihat sebagai usaha strategik Bersatu untuk meraih sokongan lebih besar daripada masyarakat Melayu-Bumiputera.

Namun, Lim menegaskan bahawa hak-hak Bumiputera telah lama dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan pelbagai institusi kerajaan. Menurutnya, menambah lebih banyak badan hanya akan menimbulkan kekeliruan dan melambatkan usaha menangani isu sebenar.

“Jika Muhyiddin benar-benar percaya terdapat hak Bumiputera yang belum dipenuhi, beliau harus menyatakan dengan jelas apakah hak-hak tersebut dan mengapa ia gagal dilaksanakan.

“Ini adalah persoalan asas yang perlu dijawab sebelum mencadangkan apa-apa badan baharu,” tambah Lim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS