Seorang peniaga mengalami kerugian sebanyak RM14,274 akibat diperdaya oleh sindiket penipuan di laman sosial, Facebook di Taman Abu Bakar, di Jempol semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata mangsa berusia 54 tahun itu telah melihat iklan di Facebook mengenai penjualan barang seperti susu dan tepung dengan harga yang murah.
Beliau berkata pengadu berminat dengan tawaran tersebut, lalu menekan pautan dalam aplikasi dan mengisi butiran peribadi termasuk nombor akaun serta nombor pin dalam aplikasi itu.
"Selepas itu, sejumlah wang daripada akaun bank milik pengadu dipindahkan tanpa kebenaran, iaitu RM5,000, RM5,100, RM2,200, dan RM1,974.55 ke akaun serta platform lain. Pengadu menerima makluman daripada pihak bank bahawa wangnya telah dipindahkan ke beberapa akaun, termasuk ke TNG eWallet dan nama lain yang dinyatakan," katanya dalam satu kenyataan di jempol hari ini.
Hoo berkata pengadu kemudiannya berasa ditipu lalu membuat laporan di balai polis kemudian sebaik laporan diterima pihaknya membuat semakan di Semak Mule bagi akaun bank terlibat.
“Usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan talian telekomunikasi yang digunakan melalui Portal MCMC, Mobile Number Portability (MNP) dan permohonan mendapatkan penyata akaun bank pengadu dan suspek di Portal Commercial Crime Intelligence System (CCIS)," katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
- Bernama