Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan pertemuan berhubung usaha membawa keluar BN daripada kerajaan perpaduan termasuk dengan Ahli Parlimen Arau Shahidan Kassim.
Namun, Zahid berkata pertemuan itu bukan berlangsung dengan Shahidan sahaja.
Zahid bagaimanapun enggan mendedahkan perincian lanjut mengenai perkara itu.
“Rahsia. Kalau saya berkongsi dengan umum bukan lagi menjadi satu rahsia. Oleh sebab itu, biarlah saya berbincang dengan pemimpin-pemimpin tertentu sahaja.
“Saya juga telah memaklumkan secara terperinci kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya kita berjaga-jaga, agar pisang tidak berbuah dua kali.
“Dan bukan hanya Shahidan seorang yang bertemu dengan saya bercakap tentang perkara yang sama,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen BN Selangor di Shah Alam, hari ini.
Ahmad Zahid berkata ketika ditanya nama pemimpin PN yang terlibat dalam usaha menarik BN keluar dari kerajaan perpaduan seperti yang didedahkannya sebelum ini.
Ahmad Zahid pada Isnin lalu, dilaporkan mendakwa terdapat usaha untuk menarik BN keluar daripada kerajaan perpaduan, seterusnya mengangkat individu daripada BN sebagai perdana menteri.
Shahidan sebelum ini berkata ajakan mereka supaya wakil rakyat Umno meninggalkan kerajaan perpaduan bukan sesuatu yang rahsia, sebaliknya ia pernah dibuat secara terbuka termasuk dalam ceramah.
Tarik semula penggantungan Tajuddin
Sementara itu, mengulas tindakan Umno menarik semula penggantungan keahlian Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli parti itu berkuasa kuasa serta-merta, Zahid berkata pemimpin veteran parti itu selayaknya diterima semula.
Malah, Zahid berkata perkara yang sama juga akan dibuat terhadap mana-mana bekas pemimpin parti itu yang mahu kembali ke dalam Umno.
“Tajuddin menghantar surat rayuan sebanyak empat kali dan beliau telah datang memperlihatkan dukungannya semasa pilihan raya kecil (PRK) Nenggiri dan Mahkota.
“Beliau juga hadir dalam Perhimpunan Agung Umno yang lalu dan saya tidak nampak kenapa Majlis Kerja Tertinggi Umno tidak bersetuju dengan rayuan beliau dan jika ada lain-lain ahli yang melakukan tindakan yang sama sebagaimana yang dibuktikan oleh Tajuddin, saya tidak nampak jika ahli Majlis Tertinggi juga tidak boleh melakukan keputusan yang sama,” katanya.
Selain Tajuddin, Khairy Jamaluddin yang juga bekas ketua pemuda dan bekas pengerusi Umno Selangor dan Noh Omar turut dipecat dari Umno pada Jan 2023 kerana melanggar disiplin parti semasa PRU15.
Manakala keahlian Shahril yang juga bekas ketua penerangan dan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein digantung selama enam tahun.