Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Israel sekat bantuan kemanusiaan ke utara Gaza

Wakil Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi wilayah Palestin yang diduduki, Ajith Sunghay berkata pada Jumaat bahawa PBB tidak dapat menyalurkan sebarang bantuan kemanusiaan ke utara Gaza disebabkan keengganan berterusan pihak berkuasa Israel untuk membenarkan konvoi bantuan melintas.

Menurut laporan Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA), Sunghay dalam sidang media mingguan di pejabat PBB di Geneva menegaskan bahawa Gaza terus berdepan krisis kemanusiaan yang teruk, dengan penduduknya menghadapi ancaman kelaparan, penyakit, dan kematian.

Sementara itu, kira-kira 70,000 orang masih terperangkap di utara Gaza tanpa akses kepada bekalan penting, katanya.

“PBB tidak dapat menghantar sebarang bantuan kemanusiaan ke utara Gaza kerana pihak berkuasa Israel secara konsisten menyekat atau menolak laluan konvoi bantuan,” katanya.

Sunghay menekankan keperluan mendesak untuk bantuan kemanusiaan dan menyeru Israel membenarkan penghantaran bantuan secara selamat ke kawasan itu.

Sementara itu, Program Makanan Sedunia (WFP) melaporkan semua kedai roti di Semenanjung Gaza terpaksa ditutup akibat kekurangan bekalan yang kritikal.

Dalam satu kenyataan di platform X pada Jumaat, WFP memaklumkan roti, yang sering menjadi sumber makanan utama bagi ramai keluarga di Gaza kini tidak lagi dapat diakses oleh penduduk.

Organisasi itu memberi amaran bahawa kekurangan terbabit semakin memburukkan krisis kemanusiaan yang sedia ada.

WFP dengan segera menyeru agar bantuan kemanusiaan penting dapat dihantar ke Gaza secara selamat dan tanpa halangan, sambil menegaskan kepentingan memastikan akses kepada bekalan asas bagi penduduk untuk terus hidup.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS