Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menganggarkan lebih 26,000 hektar tanaman padi di kawasan seliaan dan luar jelapang mengalami kerosakan susulan banjir yang melanda Kelantan sejak beberapa hari lepas.
Pengerusi Persatuan Pesawah Kelantan (Pesak) Zuha Ismail berkata sebahagian besar kawasan berkenaan baru siap ditabur benih beberapa minggu lepas manakala sebahagian lagi menunggu waktu untuk dituai.
“Kita lewat melakukan proses tabur untuk musim 1/2025 kerana berdepan isu bekalan air sebelum ini. Namun petani berdepan kerugian sekali lagi bila banjir melanda hampir seluruh Kelantan ketika ini.
“Bagi yang baru melakukan proses menabur, mungkin benih telah dihanyutkan air kerana arus banjir pada tahun ini lebih deras daripada biasa," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata setakat ini sudah tiga musim petani di Kelantan tidak dapat menanam padi dan mengalami kerugian hingga ribuan ringgit termasuk dirinya sendiri yang mengusahakan kira-kira lima hektar sawah di Peringat.
Menurut Zuha, kawasan tanaman padi yang terjejas teruk adalah di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Tumpat.
Beliau berkata petani mempetaruhkan sejumlah modal yang besar untuk mengusahakan padi buat kali ketiga selepas tergendala dua musim berikutan kemarau dan krisis bekalan air.
“Banjir luar biasa tahun ini menyebabkan petani yang mengharapkan ada hasil jualan untuk perbelanjaan puasa, hari raya dan persediaan tahun baharu sekolah, sekali lagi berputih mata.
“Kita harap pihak kerajaan dapat membantu meringankan kerugian yang ditanggung oleh petani ini dengan bantuan sewajarnya selepas ini," katanya.
- Bernama