mk-logo
Berita
Majoriti bantah projek lombong timah di hutan Kelantan - Tinjauan EIA
Diterbitkan:  Nov 30, 2024 8:39 AM
Dikemaskini: 12:39 AM

Hampir 80 peratus responden tidak bersetuju dengan projek perlombongan bijih timah di Hutan Simpan Perias, Kelantan.

Hampir 80 peratus responden tidak bersetuju dengan projek perlombongan bijih timah di Hutan Simpan Perias, Kelantan.

Menurut tinjauan dalam laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek itu, sekitar 79.3 peratus responden menyatakan aktiviti projek tersebut akan memburukkan lagi isu-isu sedia ada.

Laporan itu menyebut menurut pemahaman masyarakat Orang Asli, projek tersebut terletak di atas tanah adat yang sedang dalam proses untuk digazetkan.

"Hanya minoriti sebanyak 6.5 peratus responden yang bersetuju dengan projek ini, kerana mereka percaya ia akan membawa peluang pekerjaan," menurut laporan itu.

Tinjauan tersebut melibatkan 92 responden melalui pendekatan dari rumah ke rumah di 11 kampung.

Sekitar 96.7 peratus responden memiliki pendapatan di bawah RM1,500 manakala 83.7 peratus hanya mempunyai pendidikan sekolah rendah. Sebanyak 69.2 peratus daripada mereka adalah petani.

Laporan itu turut menyatakan beberapa penempatan Orang Asli berada dalam radius 5 km dari tapak projek yang dicadangkan.

Menurut jadual 2.1 dalam laporan itu, terdapat tujuh kampung yang terletak dalam jarak 3.6km dari tapak projek.

Sekolah Kebangsaan Bihai, sebuah sekolah rendah, disenaraikan berada 2.1 km dari tapak tersebut.

Projek ini akan membabitkan kawasan seluas 184.8 hektar, atau hampir bersamaan 259 padang bola sepak, di kawasan hutan di Kelantan.

Laporan itu berkata kesan daripada fasa pembangunan dan operasi akan mempengaruhi hakisan tanah, pemendapan, kualiti air sungai, ekologi dan warisan alam semula jadi.

Disebabkan aktiviti pembersihan tanah yang diperlukan untuk memulakan perlombongan, hakisan tanah akan berlaku dalam julat sederhana tinggi hingga ke sangat tinggi jika tiada langkah pemuliharaan dilaksanakan, menurut laporan penilaian kesan alam sekitar itu.

Hakisan ini disebabkan oleh cerun dan bukit di tapak tersebut, tetapi ia boleh dikurangkan oleh jenis partikel tanah yang lebih kuat melekat antara satu sama lain.

Selain itu, beberapa spesies flora dan fauna yang disenaraikan sebagai dilindungi sepenuhnya dan dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 turut akan terjejas.

Laporan berkenaan berkata walaupun kaedah pemantauan tidak menemui kelibat harimau Malaya, terdapat laporan berita mengenai kejadian terserempak dengan haiwan itu.

Berdasarkan Survei Harimau Kebangsaan 2020, kurang 150 ekor haiwan itu di hutan semenanjung.

Sementara itu, rancangan pengurusan alam sekitar dalam laporan EIA projek lombong berkenaan juga menyatakan pihak pemaju projek bertanggungjawab memastikan kerja-kerja untuk melindungi alam sekitar dimasukkan ke dalam dokumen tender mereka.

Syarikat yang bertanggungjawab juga mesti melaksanakan langkah-langkah yang dicadangkan untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

Jabatan Alam Sekitar telah menerbitkan laporan ini pada 12 November dan akan menerima maklum balas awam sehingga 26 Disember melalui borang yang boleh diakses di pautan berikut: [Borang maklum balas projek lombong timah]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS