Tindakan penguatkuasaan terhadap papan tanda premis perniagaan yang tidak menepati undang-undang dibuat bukan atas desakan mana-mana pihak atau individu tetapi atas dasar memastikan peraturan yang berkuat kuasa dipatuhi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menetapkan penggunaan bahasa kebangsaan perlu diutamakan pada papan tanda premis.
Beliau berkata huruf dan perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dengan saiz yang lebih besar daripada huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain.
“Kesemua papan tanda tersebut juga perlu mendapatkan pengesahan visual daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) terlebih dahulu sebagai dokumen wajib untuk memohon kelulusan DBKL,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Malaysia mengamalkan prinsip kedaulatan undang-undang iaitu undang-undang dan peraturan yang dikuat kuasa adalah untuk memastikan keadilan serta keharmonian dalam masyarakat terjamin.
“Justeru, semua pihak, tanpa mengira latar belakang perlu mematuhi undang-undang dan peraturan tersebut,” katanya.
Dr Zaliha turut menegaskan tindakan penguatkuasaan oleh DBKL dalam pengetahuannya selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata keputusan ini turut konsisten dengan pendekatan yang telah diambil sejak isu Jalan Silang sebagai ‘Mini Dhaka’ berbangkit lagi.
Setakat ini, beliau berkata 13 operasi telah dilaksanakan dengan 264 notis dikeluarkan dan 36 premis diambil tindakan berhubung isu papan tanda premis.
Beliau berkata antara kesalahan yang dikenakan tindakan ialah penggunaan papan tanda tidak mendapat permit daripada DBKL atau papan tanda dipaparkan tidak mengikut kelulusan permit yang diberikan.
“Notis juga telah diberikan dalam tempoh yang munasabah kepada pemilik premis untuk mengambil tindakan sebelum penguatkuasaan dibuat.
“Ingin ditegaskan bahawa penguatkuasaan ini adalah tugasan rutin DBKL yang sepatutnya telah dilaksanakan sejak dahulu lagi,” katanya.
Sehubungan itu, Dr Zaliha menyeru semua pihak termasuk ahli politik agar menghentikan polemik tindakan penguatkuasaan DBKL.
“Kita mempunyai banyak agenda penting untuk diberi perhatian dan bermain dengan sentimen perkauman seperti ini hanya akan mewujudkan polarisasi yang memecahbelahkan rakyat,” katanya.
Menjelang Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau mengajak semua pihak bersama-sama mengangkat martabat bahasa kebangsaan sebagai imej negara.
“Kuala Lumpur sebagai pintu masuk utama negara seharusnya mencerminkan identiti nasional yang menonojolkan bahasa kebangsaan kita dengan jelas dan bangga,” katanya.
Sebelum ini, sebuah media dalam talian melaporkan Persatuan Restoran Cina Malaysia mendakwa perniagaan mereka menghadapi peningkatan kos operasi berikutan tindakan keras berhubung papan tanda oleh DBKL.
- Bernama