Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bernas turunkan harga beras putih import
Diterbitkan:  Nov 29, 2024 6:01 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Padiberas Nasional Berhad (Bernas) bersetuju menurunkan harga beras putih import di Semenanjung Malaysia, kata Menteri Pertanian dan Keselamatan Makanan Mohamad Sabu.

Jelas Mohamad, Bernas bersetuju menurunkan harga jualan beras putih import di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan metrik kepada RM2,800 per tan metrik berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.

"Persetujuan ini dicapai hasil perbincangan di antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Bernas baru-baru ini.

"Penurunan harga ini adalah selari dengan penurunan harga semasa pasaran beras dunia serta pengukuhan nilai tukaran ringgit Malaysia berbanding dolar AS.

"Kerajaan optimis inisiatif ini akan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat melalui peningkatan akses dan ketersediaan bekalan beras pada harga yang lebih rendah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad menambah bahawa pasukannya akan terus melibatkan semua pihak berkepentingan untuk menghasilkan rancangan jangka panjang, yang akan mencerminkan struktur kos pengeluaran beras yang lebih realistik.

Ini, katanya, akan memastikan industri beras dan padi negara terus berkembang bagi memastikan kehidupan petani terpelihara, selain mengukuhkan keterjaminan makanan negara.

Pada 11 Jan, Utusan Malaysia melaporkan Gabungan Pengilang-Pengilang Beras Malaysia mendakwa wujudnya kartel dalam industri beras dan padi negara, yang telah membungkus beras tempatan sebagai beras import untuk dijual pada harga yang lebih tinggi.

Pada 9 Nov, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan mendedahkan kartel beras dan padi yang selama ini mengaut keuntungan daripada kesengsaraan rakyat sambil memonopoli barangan makanan.

Dia berkata Suruhanjaya Persaingan Malaysia telah menyelesaikan laporan mengenai perkara itu tetapi tidak dapat mendedahkannya buat masa ini.

Fuziah berkata dia menyerahkan kepada perdana menteri untuk mendedahkannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS