Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Sahabat lama’ dari PN jumpa Zahid di Parlimen, kata Hamzah

Timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin hari ini mendedahkan seorang ahli parlimen PN baru-baru ini bertemu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini dan mencadangkan agar parti itu keluar daripada kerajaan.

Namun, Hamzah yang juga ketua pembangkang menegaskan perbincangan itu hanyalah antara "dua sahabat lama" dan tanpa  mandat daripada kepimpinan PN.

“Saya nak jelaskan apabila ia berlaku, saya bertanya dengan orang yang berjumpa Zahid

“Dia beritahu saya itu sebenarnya bukanlah perbincangan, sekadar berjumpa di Parlimen,” katanya ketika sidang media selepas acara perasmian perhimpunan agung Bersatu di Shah Alam, hari ini.

Hamzah menceritakan semula pertemuan tersebut, seperti yang dimaklumkan kepadanya oleh ahli Parlimen PN yang berjumpa Zahid itu.

“Dia kata (kepada Zahid), ‘Kenapa takut sangat DAP cakap macam-macam pada Umno?’ Bila dia cakap macam tu, Zahid tanya apa yang patut dia buat.

“Dia (ahli Parlimen PN) kata ‘keluarlah dari kerajaan perpaduan’ (dan Zahid balas) ‘kalau keluar nak tubuh kerajaan macam mana?’

“Jadi ahli Parlimen itu kata ‘boleh bersama kami’. Itu sahaja,” kata Hamzah.

Hamzah menegaskan ahli parlimen PN itu tidak diberi mandat untuk membuat sebarang tawaran kepada Zahid dan cadangan itu hanya dibangktikan antara “sahabat lama”.

“Apa salahnya dengan itu? Anda boleh tanya Zahid siapa yang bertemu dengannya. Individu yang bertemu dengannya juga telah bertemu saya, dan individu itu memberitahu saya apa yang saya sampaikan kepada anda hari ini.

“Apa salahnya? Anda tanya Zahidlah siapa yang jumpa dia. Orang yang jumpa dia dah jumpa saya, dan diceritakan (kepada saya) apa yang saya cerita hari ini,” katanya lagi.

Pada 24 November lalu, Zahid dilaporkan mendakwa dia didekati ahli parlimen pembangkang yang cuba memujuknya untuk membawa BN keluar daripada kerajaan persekutuan bagi membentuk jajaran politik baru.

Tiga hari kemudian, Pemuda PAS Pulau Pinang berkata pihaknya akan menganggap Zahid cenderung untuk “berbohong” jika dia gagal mendedahkan siapa yang didakwa memujuknya itu.




Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS