Hampir separuh daripada kes salah laku polis yang dilaporkan di Malaysia tidak diteruskan selepas peringkat siasatan, menurut Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam laporan hak asasi manusia terbaru dikeluarkan NGO itu.
Koordinator dokumentasi dan pemantauan Suaram, Jernell Tan, mendedahkan bahawa sejumlah 170 kes yang melibatkan 198 dakwaan salah laku telah dilaporkan.
“Daripada 198 dakwaan tersebut, 99 kes tidak diteruskan selepas peringkat siasatan, 90 kes berakhir dengan pertuduhan, dan lapan kes membawa kepada penggantungan.
“Hanya seorang anggota yang dibebaskan,” jelas Tan semasa pelancaran laporan tersebut.
Menerangkan jenis-jenis salah laku, Tan berkata kes rasuah mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu melibatkan seramai 68 anggota.
Ia dikuti dengan peras ugut sebanyak 64 kes, manakala 15 anggota terlibat dalam keganasan seksual dan 11 keganasan fizikal.
Kesalahan lain termasuk jenayah berkaitan dadah, pembunuhan, rompakan, ugutan, dan penculikan, yang menunjukkan perkembangan salah laku yang membimbangkan dalam pasukan polis.
Laporan tersebut turut menimbulkan kebimbangan mengenai peningkatan penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), terutamanya bagi tangkapan berkaitan keganasan dan jenayah terancang.
"Pada tahun 2024, terdapat 27 penahanan berkaitan keganasan, berbanding tiada kes pada 2023.
"Tangkapan berkaitan jenayah terancang di bawah Sosma menyaksikan peningkatan ketara daripada 11 pada 2023 kepada 107 tahun ini," jelas Tan.
Namun, tangkapan berkaitan pemerdagangan manusia turun secara mendadak, rngan hanya 22 kes dilaporkan pada 2024 berbanding 3,209 pada 2023.
Suaram bagaimanapun berkata penurunan ini tidak harus disalah tafsir sebagai pengurangan sebenar dalam aktiviti pemerdagangan manusia.
"Pada 2023, Sosma digunakan untuk semua siasatan di bawah Seksyen 26A Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) 2007, menyasarkan tekong dan ketua sindiket - satu trend yang masih berterusan dalam semua lima kes pemerdagangan manusia yang dilaporkan tahun ini," menurut laporan itu.
Ia menambah penurunan ketara dalam kes yang dilaporkan berkemungkinan mencerminkan pelaporan terpilih atau kekurangan pendedahan, memandangkan pengakuan kerajaan tentang peningkatan aktiviti pemerdagangan dan usaha dipertingkatkan, termasuk kerjasama rentas sempadan, untuk membanteras jenayah tersebut.
Daripada 156 individu yang ditahan di bawah Sosma pada 2024, 71 telah didakwa, 35 masih ditahan, 39 kes tidak didedahkan, dan 11 individu telah dibebaskan.
Laporan itu juga menyebut kes membabitkan Global Ikhwan Service Berhad (GISBH) sebagai contoh penyalahguanaan di bawah Sosma.
“Polis telah lama mengetahui tentang GISBH sejak 2011, ditambah pula dengan siasatan selama enam bulan sebelum pelancaran Op Global. Dalam tempoh dua minggu operasi, mereka mengesyaki dan secara terbuka mengakui kemungkinan wujud elemen jenayah terancang – sambil mencari pelbagai petunjuk berkaitan pengubahan wang haram, penderaan seksual, dan pemerdagangan manusia, di samping operasi menyelamat dan rampasan aset.
“Perlu diingatkan, hampir 70 peratus daripada individu yang ditahan juga mendapat lanjutan reman. Oleh itu, terdapat masa yang mencukupi untuk menyiasat kes dan mendakwa mereka di bawah Atipsom dan Seksyen 130V Kanun Keseksaan tanpa menggunakan Sosma,” menurut laporan itu.
Kematian dalam tahanan
Laporan tersebut turut menunjukkan penurunan ketara dalam kes kematian dalam tahanan, dengan lima kes dilaporkan pada 2024 berbanding 14 pada 2023. Tiga kematian berlaku dalam tahanan polis, manakala dua lagi dalam penjara.
Namun, Tan menyuarakan keraguan terhadap angka berkenaan yang agak rendah, dengan mengatakan kemungkinan besar terdapat kes tidak dilaporkan.
“Angka yang dilaporkan kerajaan menunjukkan bahawa jumlah sebenar kematian dalam tahanan mungkin jauh lebih tinggi,” katanya.
Salah satu kes yang mencuri perhatian melibatkan banduan Zaidi Abd Hamid, yang dilaporkan meninggal dunia selepas dihukum sebat di Penjara Pokok Sena, Kedah, bulan lepas.