Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Apa yang saya susun dah jadi, Bersatu kini bersedia’

Bersatu kini bersedia menyumbang khidmat terbaik kepada negara selepas pemilihan parti tiga minggu lepas, kata Presidennya Muhyiddin Yassin.

Dia menyifatkannya pemenang-pemenang sebagai barisan kepimpinan terbaik kepimpinan parti komponen Perikatan Nasional (PN) itu, setakat ini.

“Apa yang saya susun sudah pun jadi,” katanya sambil menegaskan perkara itu telah melalui proses demokrasi.

Keputusan yang diumumkan awal bulan ini menyaksikan kompromi bagi mengelakkan perpecahan berjaya.

Muhyiddin dan Hamzah Zainudin menang tanpa bertanding bagi jawatan nombor satu dan dua.

Jawatan naib presiden pula dimenangi seperti oleh Ronald Kiandee, Radzi Jidin, dan Ahmad Faizal Azumu yang memberi laluan kepada Hamzah. 

Keputusan ini selari dengan keputusan rundingan dalaman.

Spekulasi menyebut kompromi itu dibuat bagi mengelakkan pertembungan pasukan Hamzah dan Azmin Ali, bekas orang kuat Anwar Ibrahim yang beralih arah kepada Muhyiddin semasa Langkah Sheraton.

Dalam kompromi itu, Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja, dan Azmin memberi laluan kepada Hamzah. Sebagai balasan, Azmin akan dilantik sebagai setiausaha agung.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini di pejabatnya di Kuala Lumpur baru-baru ini, Muhyiddin berkata keputusan pemilihan menunjukkan kematangan perwakilan dari peringkat bawah sampai ke atas.

“Ia juga amalan yang baik bila anggota kita sekarang faham siapa patut pemimpin parti, demi lakukan yang terbaik kepada negara,” katanya.

‘Saya akan jemput Azmin naik pentas’

Sementara itu, mengulas lantikan Azmin sebagai setiausaha agung, Muhyiddin berkata dia telah lama memutuskan perkara itu.

“Azmin pun sudah setuju. Saya akan jemput dia secara rasmi naik pentas pada hari itu (perhimpunan agung tahunan),” katanya.

Perhimpunan Agung Bersatu akan bermula Sabtu ini selama dua hari di Shah Alam.

Semalam Muhyiddin mengumumkan Azmin dilantik sebagai Setiausaha Agung Bersatu dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bagi sesi 2024-2027.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di laman Facebook, dia turut mengumumkan Rina Harun sebagai Bendahari Agung Bersatu dan Tun Faisal Ismail Aziz sebagai Ketua Penerangan parti itu, untuk sesi sama.

Dengan gandingan terbaru ini, dia berkata Bersatu kini sudah bersedia untuk memberikan khidmat terbaik kepada negara.

“Kita perlu duduk dengan semua pemimpin ini untuk lebih memahami tumpuan utama kita. 

“Mereka mungkin memerlukan beberapa nasihat,” katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada ada kemungkinan calon yang kalah dilantik semula ke dalam kepimpinan parti, Muhyiddin tidak menafikannya.

“Kita menimbangkan sesiapa sahaja,” katanya.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, kalah atau menang, semua pihak mempunyai peranan dalam parti.

“Maknanya tak ada pihak yang selepas kalah mereka rasa mereka dah hilang tugas dan tanggungjawab. 

“Saya ingin beritahu semua ahli Bersatu, anda semua penting,” katanya.

Muhyiddin diwawancara oleh RK Anand, Jimadie Shah Othman dan Alyaa Alhajri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS