Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyambut ulang tahun kedua pada 24 November lalu. Mandat Kerajaan Madani ini pula akan berakhir pada 19 Disember 2027. Maka ada pelbagai pihak membuat penilaian terhadap kerajaan beliau.

Pada waktu sama, 3 Disember ini adalah ulang tahun ke-50 demonstrasi pelajar institusi pengajian tinggi besar-besaran di Kuala Lumpur, yang Anwar muncul sebagai pemimpin generasi muda yang menarik perhatian dan dukungan orang ramai.

Saya tidak berhasrat untuk membuat penilaian terhadap kerajaan Madani atas dua sebab.

Pertama, saya tidak mempunyai maklumat dan pengetahuan secukupnya mengenai kerajaan, negara dan dunia. Sudah tentu ia merupakan suatu yang pelik kerana pada waktu ini, maklumat amat mudah diperoleh berbanding pada zaman perdana menteri terdahulu.

Oleh kerana banyaknya maklumat, maka antaranya terdapat maklumat palsu yang pastinya boleh menjejaskan penilaian. Selain itu, terdapat perkara-perkara tidak formal yang tidak tersebar dalam media massa dan media sosial. 

Maklumat ini hanya diketahui oleh kakitangan kerajaan yang bekerja rapat dengan menteri-menteri kabinet dan ahli-ahli politik, termasuk pihak pembangkang. 

Ada antara maklumat ini terlepas juga kepada wartawan-wartawan yang bekerja rapat dengan mereka. Tetapi maklumat ini tidaklah disebarkan oleh wartawan kerana status off record  atau tidak boleh dilaporkan. Oleh kerana saya sudah bersara, maka saya tidaklah memperoleh maklumat sedemikian.

Sebab kedua mengapa saya tidak berhasrat untuk membuat penilaian adalah kerana saya tidak berkecuali. Walaupun saya berusaha untuk bersikap objektif, saya mempunyai sentimen dan emosi yang dikaitkan dengan sesuatu pendirian politik. 

Keseluruhan hidup saya telah dilaburkan kepada suatu fahaman dan perjuangan yang saya percaya benar. Maknanya saya bukan saja menjadi pengundi tetapi juga menulis dan bercakap mengenai apa yang menjadi fahaman saya. 

Politik mula menarik minat saya pada tahun 1973 ketika berada di tingkatan dua. Sebagai remaja yang idealis tetapi naif, kecenderungan saya adalah bersikap memberontak bagi menentang establishment

Maka dalam pilihan raya umum tahun 1974, saya menyokong pembangkang dan menentang BN. Saya melihat BN tidak berhasrat untuk mewujudkan“negara impian” yang saya gambarkan pada waktu remaja. 

Ilusi di kaca mata

Kaca mata politik saya ketika itu berilusi dan idealistik. Sedangkan pada masa itu Tun Razak memperkenalkan pelbagai pembaharuan bagi memenuhi tuntutan rakyat dan negara. Beliau berwawasan dan tidak keberatan mengambil idea-idea progresif, bertentangan dengan apa yang menjadi visi Tunku.

Maka pada penghujung 1974, saya tidak teragak-agak menyokong pelajar universiti yang melakukan demonstrasi. Dengan semangat, saya pun turut turun menyaksikan mereka. Pada masa itulah saya mula mengenal dan mengagumi Anwar Ibrahim dan Hishamuddin Rais.

Selepas itu, sehingga tahun 1981, saya melihat Anwar Ibrahim yang menjadi presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) sebagai pemimpin masa depan Malaysia. S

aya menaruh harapan bahawa beliau akan membawa negara ini kepada bukan saja pada kedudukan ekonomi yang lebih menjamin tetapi juga menjadikan negara lebih adil, demokratik dan progresif.

Tentulah saya kecewa apabila Anwar menyertai Umno pada tahun 1981. Tetapi dengan fikiran  yang lebih matang, saya dapat lihat bahawa Mahathir merupakan seorang pemimpin hebat.

Sebagai pemberita dari tahun 1982 hingga 1986, saya buat liputan banyak acara-acara yang melibatkan Mahathir dan Anwar. Tetapi lebih penting lagi saya dapat mendengar kisah-kisah dari orang di sekelilingnya,  baik di kalangan kakitangan kerajaan maupun ahli politik yang tidak akan disiarkan dan diketahui umum. 

Saya kagum dengan kepemimpinan Mahathir. Ketika itu, Anwar masih muda dan perjalanannya masih  jauh. Beliau mempunyai keistimewaan tersendiri dan tentulah tidak boleh dibandingkan dengan Mahathir. Apa yang pasti, beliau dilihat sebagai seseorang jadi bagi Malaysia untuk menjadikannya perdana menteri.

Sungguhpun saya bukanlah penyokong BN, tetapi saya mengalu-alukan pilihan Mahathir dan Umno untuk menjadikan Anwar sebagai bakal penggantinya. Walaupun saya tetap melihat Mahathir sebagai pemimpin terulung negara, tetapi apabila tiba masanya, beliau wajar  memberi laluan pada Anwar. 

Peralihan menjadi lancar dan negara kekal stabil. Pada masa itu saya tidak dapat membayangkan Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak atau Muhyiddin Yassin menjadi pengganti Mahathir.

Apabila Anwar dipecat daripada kerajaan dan Umno oleh Mahathir pada tahun 1998, banyaklah perkara buruk didedahkan secara langsung atau tidak langsung. Saya mengambil sikap terbuka kepada maklumat itu. 

Tetapi dalam pertembungan itu, saya memihak pada Anwar kerana gagasan Reformasi yang dibawanya. Bagi saya, sudah sampai masanya Anwar memerintah negara, dan Mahathir patut berundur.

Imej tercalar

Apapun, peristiwa itu menjejaskan bukan saja imej kedua-dua, Mahathir dan Anwar, tetapi juga Umno, BN dan Malaysia. Dengan imej yang tercalar, Anwar menjadi pemimpin pembangkang melalui partinya, Keadilan dan Barisan Alternatif. PAS terkedepan mendukung beliau, selain sokongan padu DAP dan Parti Rakyat, parti kecil tetapi suara besar.

Pada tahun 2008, apabila akhirnya Anwar dapat menyatukan tiga parti pembangkang iaitu PKR, DAP dan PAS. Dari apa yang saya sering bayangkan bahawa akhirnya Malaysia akan menjadi negara demokrasi dua parti. Maknanya yang jadi kerajaan sama ada BN atau Pakatan Rakyat. 

Walaupun saya sedar tentang kepentingan personaliti dan perawakan seseorang pemimpin dalam percaturan politik yang penuh pembohongan dan penipuan, tetapi minat dan kecenderungan saya pada apa yang diperjuangkan.

Antara BN dengan PR, saya lebih gemar menyokong pembangkang walaupun kepimpinan Anwar tidaklah sehebat Mahathir.

Tetapi adalah sesuatu yang mengecewakan saya bahawa pada tahun 2014, PAS menarik diri daripada PR dan mengambil dasar mesra BN. 

Walaupun dokongan saya terhadap PAS adalah atas asas fahaman politik yang sudah lama iaitu dari tahun 1982, tetapi saya anggap tindakan PAS itu mengkhianati perjuangan. Maka saya memihak pada Parti Amanah Negara dan seterusnya Pakatan Harapan.

Tiba-tiba Bersatu muncul  daripada Umno dan menjadi pembangkang. Ditambah pula Dr Mahathir turut bersama Bersatu. Mereka mahu bersama PH. Banyak penyokong PH keberatan menerima Bersatu. Tetapi dalam PH, tidak ada siapa yang layak menjadi perdana menteri. 

Anwar nasib dalam penjara. Tentulah Wan Azizah Wan Ismail juga tidak boleh. Apabila Bersatu menyertai PH, pada mulanya calon perdana menteri yang sesuai ialah Muhyiddin Yassin. Mahathir terlalu berusia.Tetapi pastinya penyokong PH tidak dapat terima.

Saya juga pada mulanya keberatan untuk menerima Mahathir. Tetapi tidak ada pilihan lain. Maka penyokong PH hanya terima bahawa Mahathir menjadi perdana menteri untuk sebahagian penggal dan kemudian digantikan dengan Anwar apabila beliau dibebaskan.

Saya sememangnya naif untuk percaya bahawa ahli-ahli politik akan menepati janji. Dalam banyak perkara saya lebih mempercayai Mahathir walaupun dari segi idealisme Reformasi, saya lebih percayakan Anwar. 

Tetapi masalahnya zaman Mahathir sudah berlalu kerana usianya. Maka Anwarlah yang paling sesuai walaupun beliau tidaklah boleh disamakan dengan Mahathir.

Gandingan yang hanya ‘membuang masa’

Apabila kerajaan PH tumbang dan Muhyiddin menjadi perdana menteri, Mahathir tidak menyertai mereka. Ketika itu saya masih mengharapkan Mahathir dapat bekerjasama dengan Anwar dan dapat kembali membawa PH kepada kekuasaan tanpa Bersatu.

Tetapi perkara itu tidak berlaku. Mahathir, Gerakan Tanah Air dan Pejuang hanyalah usaha yang membuang masa. Dalam pilihan raya umum malangnya PH tidak dapat majoriti. Banyak penyokong PH keberatan untuk menerima BN. Tetapi tiada pilihan lain.

Banyak orang mentertawakan PH dan Anwar kerana bekerjasama dengan musuhnya. Tetapi saya boleh terima kerana saya melihat kepentingan negara yang memerlukan kerajaan yang stabil. 

Ada penyokong PH kecewa kerana Anwar tidak melakukan agenda Reformasi. Tetapi realitinya ialah tidak sama dengan impian. Ini bukan kerajaan Reformasi PH. Ini adalah kerajaan Madani yang dalamnya ada Umno dan parti-parti Sarawak dan Sabah.

Sebab itu saya terus menyokong kerajaan pimpinan Anwar walaupun saya mempersoalkan beberapa dasar atau tindakannya. Tetapi saya seperti mana kebanyakan netizen tidak berada dalam kerajaan dan tidak tahu banyak perkara. Pihak pembangkang sememangnya ada perasaan kebencian yang menyebabkan mereka sentiasa memburuk-burukkan kerajaan Madani.

Malaysia adalah negara demokrasi. Kritiklah kerajaan pada mana yang patut dan perlu. Bila sampai masanya dalam pilihan raya umum akan datang, menjelang 2027, buatlah pilihan yang menepati kehendak hati.

Daripada membuat penilaian terhadap kerajaan dan perdana menteri, adalah lebih baik saya buat penilaian terhadap diri saya sendiri--bagaimana pandangan politik saya berubah, dari remaja yang naif hinggalah kepada seorang warga emas yang faham bahawa dunia ini tidaklah simple. 

Dan kita tidak akan mengetahui banyak perkara untuk menilai apatah lagi menghukum. 

Apa yang penting adalah kejujuran yang merupakan sebahagian daripada kebijaksanaan. Sebabnya nilai “amanah” memberikan suatu kehidupan yang bermakna. Baik dalam politik, mahupun di luarnya.


ZIN MAHMUD ialah wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad. 

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS