Pakar patologi forensik memberitahu Mahkamah Tinggi di Tawau terdapat kemungkinan lebih daripada seorang individu menyebabkan kecederaan ke atas Mohamad Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan yang meninggal dunia pada Mac lalu.
Saksi kelima pendakwaan Dr Dzureena Abdul Multalib, 39, berkata berdasarkan tahap kecederaan parah terutama kesan lebam, perubahan warna mungkin berlaku dalam tempoh hampir sama iaitu antara beberapa minit hingga beberapa jam sebelum kematian.
“Ia mungkin dilakukan oleh dua, tiga, empat, 10 atau lebih individu,” katanya ketika menjawab soalan peguam Ram Singh pada perbicaraan kes bunuh pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu itu hari ini.
Kes didengar di hadapan hakim Duncan Sikodol.
Tiga belas pelajar berusia antara 16 dan 19 tahun didakwa membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama 7 Resak dan 5 Belian di kolej tersebut antara jam 9 malam pada 21 Mac dan 7.38 pagi pada 22 Mac.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati atau penjara selama 30 hingga 40 tahun, serta sebatan tidak lebih 12 kali.
Berhubung kecederaan pada skrotum dan muka mangsa, Dr Dzureena berkata, ia disebabkan oleh trauma tumpul pada bahagian kemaluan serta muka seperti tendangan, tumbukan, atau hentaman dengan objek tumpul, atau gabungan tindakan-tindakan berkenaan.
Peguam Vivian Thien pula bertanya sama ada mangsa boleh diselamatkan atau tidak jika dibawa menerima rawatan pada jam 4 pagi iaitu dalam tempoh tiga atau empat jam selepas mengalami kecederaan.
Saksi itu berkata Mohamad Nazmie mungkin boleh diselamatkan jika dibawa ke hospital serta-merta dan menerima rawatan agresif termasuk resusitasi.
Menjawab soalan timbalan pendakwa raya, Nur Nisla Abd Latif, mengenai rawatan agresif itu, Dr Dzureena berkata ia adalah rawatan sokongan yang melibatkan pelbagai kepakaran termasuk dari segi kecemasan, perubatan dan buah pinggang.
Pendakwaan turut dikendalikan oleh Ng Juhn Tao dan Nur Batrisyia Mohd Khusri.
Lapan daripada tertuduh diwakili Ram Singh, Kamaruddin Mohmad Chinki dan Chen Wen Jye, manakala lima lagi dibela oleh Mohamad Zairi Zainal Abidin, Abdul Ghani Zelika, Vivian, Jhassany P Kang dan Kusni Ambotuwo.
Perbicaraan bersambung.
- Bernama