Terengganu dan Kelantan mencatatkan peningkatan mendadak mangsa banjir pada petang ini berbanding yang direkodkan pada pagi tadi.
Pada masa sama jumlah mangsa banjir di Kedah dan Perlis turut mencatatkan pertambahan, manakala situasi di Perak dan Johor pula tidak berubah.
Di KELANTAN, portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 42,868 orang dengan 190 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di 10 jajahan berbanding 29,023 orang di 151 PPS pada pagi tadi.
Jajahan Pasir Mas mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 15,148 orang yang berlindung di 45 PPS, diikuti Tumpat (6,175 orang di 14 PPS), Pasir Puteh (4,035 orang di 21 PPS), Kuala Krai (4,014 orang di 30 PPS), Kota Bharu (3,983 orang di 24 PPS) dan Tanah Merah (3,685 orang di 25 PPS).
Banjir yang melanda Machang pula menyebabkan 2,915 orang berlindung di 18 PPS, Bachok (2,157 orang di tujuh PPS), Jeli (724 orang di lima PPS) dan Gua Musang (32 orang di sebuah PPS).
Di TERENGGANU pula merekodkan seramai 14,111 orang mangsa banjir setakat jam 4 petang tadi, meningkat daripada 8,215 orang berbanding pagi, dengan Besut masih menjadi daerah paling terjejas.
Seramai 5,076 orang mangsa banjir sedang ditempatkan di 69 PPS.
Ia diikuti daerah Setiu (3,514 orang di 41 PPS), Hulu Terengganu (3,351 orang di 46 PPS), Kemaman (1,407 orang di 18 PPS), Dungun (446 orang di lapan PPS), Marang (296 orang di tujuh PPS) dan Kuala Nerus (21 orang di sebuah PPS).
Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu memaklumkan 42 jalan ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat pada petang ini. Paras air sungai di 17 stesen pula didapati melepasi paras bahaya.
Antaranya Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu; Sungai Telemong di Kuala Ping, Hulu Terengganu; Sungai Besut di Kampung La, Besut; Sungai Dungun di Kuala Jengai, Dungun; dan Sungai Tebak di Jambatan Tebak, Kemaman.
Sementara itu, di KEDAH Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata mangsa banjir setakat petang tadi ialah 1,849 orang daripada 595 keluarga berbanding 569 orang daripada 197 keluarga pagi tadi.
Katanya sebanyak 17 PPS beroperasi di negeri terbabit iaitu sembilan di Kubang Pasu yang menempatkan 1,010 orang, Padang Terap (749 orang di lima PPS); Sik (54 orang di dua PPS) dan Pokok Sena (36 orang di sebuah PPS).
APM PERLIS pula memaklumkan jumlah mangsa banjir mencatatkan 383 orang berbanding 243 pagi tadi.
Katanya mereka ditempatkan di empat PPS iaitu 128 orang di PPS SK Arau, PPS SK Guar Nangka Arau (73 orang), PPS SK Titi Tinggi Padang Besar (131 orang) dan PPS Dewan Warisan, Kangar (51 orang).
Situasi banjir di PERAK dan JOHOR tidak berubah dengan 20 orang masih berada di PPS SK Haji Parit Aman, Kerian, Perak; manakala 28 orang ditempatkan di PPS Balai Raya Batu Badak, di Segamat.
- Bernama