Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming hari ini memberi jaminan semua rumah ibadat bukan Islam yang layak boleh memohon bantuan penyelenggaraan setiap tahun tanpa sebarang sekatan.
Katanya, bantuan akan diagihkan berdasarkan keperluan mendesak dengan keutamaan diberikan kepada rumah ibadat yang belum pernah menerima peruntukan sebelumnya.
“Rumah ibadat bukan Islam boleh mengemukakan permohonan kepada kementerian setiap tahun.
"Tiada sekatan untuk permohonan semula, asalkan ia berasaskan keperluan,” kata Nga pada satu kenyataan.
Menurutnya, sehingga Oktober tahun ini, KPKT telah menyalurkan bantuan berjumlah RM46.13 juta kepada 422 rumah ibadat, termasuk kuil, gereja, gurdwara, dan tokong.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM21.35 juta telah disalurkan kepada 147 kuil dan 25 gurdwara, manakala Belanjawan 2025 memperuntukkan tambahan RM50 juta untuk tujuan yang sama.
Nga menegaskan komitmen ini selaras dengan prinsip kerajaan Madani untuk memastikan tiada pihak yang tertinggal atau terpinggir.
“Inisiatif ini bertujuan menyokong keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.
"Saya menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu ini dengan maklumat yang tidak tepat,” tambahnya.
Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC M Saravanan (gambar atas) mendakwa cadangan kerajaan untuk mengehadkan permohonan bantuan kepada sekali setiap tiga tahun sebagai tidak masuk akal dan tidak adil.
Katanya, banyak kuil Hindu menghadapi kekangan kewangan untuk penyelenggaraan dan pembaikan serta kerajaan sepatutnya mengutamakan keperluan sebenar, bukan mengenakan peraturan yang menyekat.
Saravanan turut mencadangkan agar kerajaan menubuhkan pasukan pemantauan bagi memastikan dana digunakan dengan betul, tanpa menyukarkan proses permohonan.