PARLIMEN | Menteri Digital Gobind Singh Deo memberitahu audit yang dilakukan ke atas syarikat tujuan khas, Digital Nasional Berhad (DNB), yang diberikan tugas membangunkan infrastruktur telekomunikasi 5G (generasi kelima) di Malaysia.
Katanya, selepas mengambil alih DNB, kementerian berkenaan melakukan penelitian dan hasil siasatan menunjukkan tiada sebarang masalah pada entiti terbabit.
Antara aspek yang diteliti, kata Gobind, ialah mengenai tatakelola dan pengurusan kewangan, serta pentadbiran.
Bahkan kata Ahli Parlimen Damansara itu lagi, Kementerian Digital juga mendapat surat pengesahan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendapati tiada sebarang isu berkaitan tatakelola pada DNB.
"Sebelum kita (kerajaan) masuk dalam perjanjian SSA (perjanjian langganan saham) dengan syarikat telekomunikasi, proses telah dilaksanakan untuk memastikan urusan dalam DNB ini teratur.
"Menjadi satu keperluan untuk due diligence (kajian mendalam) diadakan.
"Jadi due diligence itu diadakan oleh DNB dan juga syarikat-syarikat lain yang terlibat untuk memastikan semua perkara yang berkaitan adalah teratur," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Gobind menjelaskan isu berkenaan sebagai menjawab soalah Howard Lee (PH-Ipoh Timur) yang bertanya mengenai dapatan siasatan ke atas DNB, dan adakah ia turut melibatkan SPRM.
Kata Gobind, setakat apa yang diteliti sehingga kini semua proses berjalan mengikut keperluan undang-undang.
Untuk rekod sebelum ini Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, memberi gambaran bahawa ada sesuatu yang "menyeramkan" dan "mencemaskan" pada DNB semasa dia baru mengambil alih jawatan tersebut.
Kata Fahmi, ketika itu dia mendapati seperti tiada sesiapa - sama ada dalam kementerian atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) - yang tahu apa yang berlaku dalam DNB.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata dia tidak boleh mengulas lanjut kerana syarikat itu kini berada di bawah portfolio Gobind sejak Dis tahun lalu.
Menurut Gobind dia akan berkongsi maklumat mengenai surat daripada SPRM mengenai DNB itu kepada Lee selepas ini.
Sementara itu dalam perkembangan lain Gobind berkata pelantikan jawatan utama bagi Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) sudah dibuat.
Katanya, lebih 1,000 permohonan diterima untuk dipertimbangkan.
NAIO akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 12 Dis ini.