Bekas pemimpin Umno serta pegawai kanan di Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Tun Faisal Ismail Aziz secara rasmi dilantik sebagai ketua penerangan Bersatu.
Bekas menteri wanita dan bekas ketua Srikandi Bersatu, Rina Harun, pula dilantik sebagai bendahari agung parti berkenaan.
Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu petang tadi yang dipengerusikan oleh presidennya Muhyiddin Yassin.
Pelantikan itu diumumkan dimaklumkan oleh Muhyiddin melalui hantaran di media sosialnya malam ini.
Rina sebelum ini tidak mempertahankan jawatan ketua Srikandi Bersatu dan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin.
Tun Faisal dipecat daripada Umno selepas mengkritik keras presiden parti itu, Ahmad Zahid Hamidi. Dia bagaimanapun tidak layak bertanding dalam pemilihan Bersatu kerana belum cukup tempoh minimum dua tahun dalam parti.
Keputusan berkaitan lantikan itu dibuat menjelang pemilihan Bersatu pada Sabtu dan Ahad ini di Shah Alam bagi melengkapkan senarai kepimpinan untuk tempoh sehingga 2027.
Sebahagian besar tampuk kepimpinan parti telah dipilih dalam pemilihan parti awal bulan ini.
Beberapa hari lalu, Muhyiddin memaklumkan kepada Malaysiakini, seorang lagi pemimpin – Azmin Ali – telahpun menerima tawaran untuk dilantik sebagai setiausaha agung.