Seorang pemandu teksi dan sepasang suami isteri rentung selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbakar di Kampung Lanchang, Jalan Jasin, Merlimau, di Jasin pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Ahmad Jamil Radzi berkata pemandu teksi S Subbramaniam, 71, serta penumpang Husali Umar, 84, dan Mastura Said, 60, maut di tempat kejadian, kira-kira 9 pagi tadi.
Beliau berkata pasangan suami isteri yang merupakan pesara peneroka dan suri rumah itu dalam perjalanan menziarahi anak lelaki mereka di Taman Merlimau Perdana.
"Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Proton Iswara berusia 10 tahun yang dipandu Subbramaniam dari arah Jasin menghala ke Merlimau dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar tembok jambatan di lokasi kejadian.
"Akibat perlanggaran itu, kereta terbabit telah terbakar dan menyebabkan kesemua mangsa termasuk pasangan suami isteri yang duduk di tempat duduk belakang rentung di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di Jasin hari ini.
Beliau berkata kebakaran dipercayai berpunca daripada kebocoran gas asli (NGV) yang dipasang pada teksi terbabit akibat rempuhan.
Kesemua mayat mangsa dibawa ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ahmad Jamil berkata kemalangan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas namun kawalan trafik dan lencongan telah dilaksanakan.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Melaka dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.09 pagi berhubung kejadian itu sebelum dua jentera dari balai Merlimau dan Jasin Bestari dengan kekuatan 11 anggota dan pegawai digegaskan ke lokasi kejadian.
JBPM Melaka memaklumkan sebaik tiba di lokasi terbabit kira-kira 9.16 pagi, teksi berkenaan didapati telah terbakar 90 peratus serta terdapat tiga mangsa yang terperangkap dalam kenderaan itu dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.
- Bernama