PARLIMEN | Kerajaan diminta memberikan butiran terperinci yang menyeluruh berhubung kos cadangan baru projek Laluan Penyuraian Trafik Petaling Jaya (PJD Link).
Wong Chen (PH-Subang) berkata, sebagai penyokong kerajaan Madani diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim dia mahu melihat ketelusan dan akauntabiliti urus tadbir diutamakan dalam perancangan projek berkenaan.
"Kita minta kerajaan berikan butir-butir anggaran kosnya, beli tanah berapa, kos jajaran baru berapa, dan yang kedua, pulangan untuk syarikat ini iaitu konsesi yang dikatakan panjang sangat selama 48 tahun, berapa syarikat akan untung.
"Sebab kalau anak cucu saya nak bayar, nak guna jalan itu nanti, saya nak tahu kena bayar berapa? Seringgit ke sekali (guna), berapa ratus ribu kereta sehari.
"Semua itu penting supaya rakyat boleh faham apakah kos sebenarnya kepada pengguna dan kos pembinaan ini.
"Terpulang kepada kerajaan untuk memberi balasan perkiraannya.
"Saya harap dalam kerajaan Madani ini semua yang kita buat adalah yang terbaik untuk rakyat dan secara terbuka - tender terbuka tanpa rasuah dan tanpa isu urus tadbir," katanya pada sidang media di parlimen hari ini.
Turut sama dalam sidang media itu Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, yang turut berkongsi hasil dapatan susulan taklimat oleh Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi hari ini.
Terdahulu Putrajaya pada April lalu menolak cadangan pembinaan PJD Link disusuli penolakan oleh kerajaan Selangor pada Julai lalu, tetapi pemaju mengemukakan penilaian impak sosial (SIA) baru empat bulan kemudian.
Cadangan PJD Link sepanjang 25.4km itu bertujuan untuk menghubungkan Lebuh Raya Sprint di Damansara ke Lebuh Raya Bukit Jalil di Bandar Kinrara.
Ia mendapat bantahan oleh kumpulan penduduk yang menyamakannya dengan projek lebuh raya Kinrara-Damansara Expressway (Kidex) yang dibatalkan pada 2015.
Perjanjian konsesi PJD Link ditandatangani pada 2022 diselubungi kerahsiaan.
Sementara itu Lee berkata, pihaknya dimaklumkan dalam taklimat berkenaan bahawa keputusan kabinet pada 8 Mei lalu bersetuju agar Syarikat PJD Link (M) Sdn Bhd diberikan kelonggaran untuk mengemukakan cadangan balas jajaran lebuh raya baru.
Terkini, jelasnya, cadangan balas jajaran baru itu mendapat kelulusan agensi-agensi persekutuan dan 'bola' kini pada kerajaan Selangor untuk memutuskan sama ada projek itu akan diteruskan atau sebaliknya.
Dia turut mengingatkan kerajaan Selangor bahawa pada pilihan raya negeri (PRN) lalu mereka sudah berjanji untuk membatalkan projek PJD Link.
"Sebarang percubaan untuk mendapatkan kelulusan melalui pindaan runcitan adalah satu penghinaan kepada pembuat dasar dan rakyat.
"Memandangkan pembatalan projek ini tidak akan mengenakan sebarang kos kepada rakyat, inilah peluang terbaik kerajaan Selangor menunaikan janji mereka kepada rakyat, iaitu untuk membatalkan PJD Link.
"Di samping itu, kerajaan Madani di peringkat pusat, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) harus menumpukan sedaya upaya untuk memperkasakan pengangkutan awam, menyelesaikan isu capaian terhujung, serta merangka pembangunan yang lestari dan rendah karbon dalam kasar segera," katanya.