Polis mengesahkan seorang warga emas yang ditemukan lemas ketika memukat ikan di kawasan sawah padi di Kampung Amir dekat Jertih pagi tadi, sebagai korban pertama banjir di Terengganu kali ini.
Ketua Polis Terengganu Mohd Khairi Khairudin berkata lokasi Tuan Jusoh Tuan Hassan, 66, yang merupakan pesara Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Besut ditemukan ialah kawasan banjir.
“Saya sahkan itu kes lemas berkait banjir di Terengganu. Ia kes pertama di negeri ini untuk banjir ini,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi banjir di Kampung Padang Luas, di Jertih, hari ini.
Terdahulu, Bernama melaporkan seorang warga emas ditemukan lemas selepas keluar dari rumah pada 7.55 pagi tadi untuk melihat pukat bersama rakannya di Kampung Amir.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Besut Muhammad Azrul Izzham Zulkifli dilaporkan berkata sebanyak 10 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 9.08 pagi.
Mayat mangsa ditemukan kira-kira 10 pagi sekitar lima meter dari lokasi dia dilaporkan tenggelam dan ditemukan di dasar air yang keruh serta arus agak deras.
Sehubungan itu, Mohd Khairi menasihati individu dewasa khususnya yang berniat untuk mencari rezeki sewaktu musim tengkujuh ini supaya berwaspada dan mengelakkan lokasi berisiko demi keselamatan masing-masing.
Dia juga berkata setakat ini hanya Balai Polis Kuala Jengal di Dungun dan Pondok Polis Tenang di Besut yang dinaiki air sedalam 0.3 meter namun operasi di kedua-dua premis masih berjalan setelah peralatan dan kelengkapan penugasan dipindahkan ke tempat selamat.
“Seramai kira-kira 20 anggota bertugas di pondok dan balai tersebut dan mereka ketika ini bertugas seperti biasa. Selain itu, kita kenal pasti ada satu balai polis di Setiu yang berisiko terkesan banjir,” katanya.
Setakat empat petang tadi, Terengganu mencatatkan 14,111 mangsa daripada 4,113 keluarga terkesan banjir dan berlindung di 190 pusat pemindahan sementara membabitkan tujuh daerah.
-Bernama