Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Malaysiakini portal berita dalam talian pertama tubuh kesatuan wartawan
Diterbitkan:  Nov 28, 2024 5:00 PM
Dikemaskini: 9:13 AM

Wartawan di Malaysiakini melakar sejarah selepas secara rasmi menubuhkan kesatuan yang merupakan sebahagian daripada Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM).

Penubuhannya disahkan selepas NUJM cawangan Malaysiakini mengadakan mesyuarat agung dwitahunan (BGM) sulungnya pada 21 November lalu bagi memilih jawatankuasa rasmi pertama untuk dua tahun akan datang.

Hariz Mohd dipilih sebagai pengerusi dengan Vinod Gangatharan sebagai timbalannya. S Vinothaa pula memegang tanggungjawab sebagai setiausaha, dibantu oleh Zarrah Marie Morden selaku penolong setiausaha.

B Nantha Kumar dipilih sebagai bendahari.

Seramai enam ahli jawatankuasa telah dipilih, iaitu Khoo Shiyuan, Yap Si Err, Nor Zuliantie Dzul-Kifli, Ahmad Noor Amin Ideris, Noor Faizal Ghazali, dan Alyaa Alhadjri.

Dengan penubuhan kesatuan ini, Malaysiakini yang merupakan perintis berita dalam talian di Malaysia sekali lagi meneroka jalan yang baru, kali ini sebagai portal berita dalam talian pertama yang menubuhkan kesatuan di bawah NUJM.

Hariz berkata penubuhan NUJM Malaysiakini adalah kejayaan hasil aspirasi dan usaha semua wartawannya sejak lebih setahun lalu. 

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli, di samping para editor dan pihak pengurusan Malaysiakini yang berfikiran terbuka dan memberikan sokongan kepada wartawan untuk menubuhkannya.

"Diharapkan dengan tertubuhnya NUJM di Malaysiakini, akan dapat membawa lebih banyak faedah kepada semua ahli kami dan dengan kerjasama erat dengan pihak syarikat, saya percaya kita akan sama-sama mampu mencipta lebih banyak kejayaan," katanya lagi.

Barisan yang bersatu

Hariz turut menyuarakan harapan agar kejayaan sebagai organisasi media dalam talian pertama yang menubuhkan cawangan NUJM dapat membakar semangat kepada para wartawan di organisasi lain yang masih berusaha untuk menubuhkan kesatuan sendiri.

Malaysiakini memohon menyertai NUJM pada 21 Februari lalu, susulan pindaan perlembagaan kesatuan itu untuk turut merangkumi wartawan media digital.

Setiausahanya, Vinothaa memuji pencapaian itu sebagai langkah penting ke arah meningkatkan perwakilan dan perjuangan untuk media digital profesional di Malaysia.

"Kami amat menghargai semua orang yang bertungkus lumus untuk menubuhkan cawangan ini, terutamanya susulan penstrukturan semula Malaysiakini baru-baru ini.

"Kesatuan akan melibatkan diri secara aktif dalam semua perkara berkaitan kakitangan dan merebut setiap peluang untuk memupuk perpaduan antara pekerja dan pengurusan.

“Matlamat kami adalah untuk memperkukuh perpaduan sebagai sebuah organisasi yang teguh, berpadu dan sentiasa mengutamakan kebajikan bersama,” kata Vinothaa, sambil menyifatkannya sebagai satu lagi kejayaan portal berita itu yang menyambut ulang tahun ke-25 bulan ini.

Sementara itu, Vinod berpandangan penubuhan NUJM Malaysiakini berpotensi membuka jalan kepada organisasi berita dalam talian yang lain untuk mengambil langkah sama.

"Kami berharap portal berita dalam talian lain juga akan mengambil perhatian dan mula membentuk kesatuan mereka sendiri demi menjaga kebajikan wartawan dengan lebih baik," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS