Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) mengekalkan status dikecualikan cukainya.
Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membatalkan keputusan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk menarik balik status pengecualian cukai yayasan itu.
Peguam, S Saravana Kumar petang tadi mengesahkan bahawa yayasan itu berjaya dalam permohonan semakan kehakiman mereka.
"Menurut mahkamah, LHDN tidak mempunyai asas untuk membatalkan status pengecualian cukai itu," kata peguam tersebut kepada Malaysiakini.
Tambahnya, hakim Shahnaz Sulaiman memerintahkan pembatalan surat LHDN bertarikh 17 Jun 2020 yang menarik balik status pengecualian cukai yayasan itu.
Pada tahun 1970, LHDN memberikan status pengecualian cukai kepada NKF di bawah Seksyen 44(6)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Bagaimanapun, selepas audit cukai pada 2019, LHDN didakwa memutuskan untuk membatalkan status pengecualian cukai tersebut dan menaikkan taksiran cukai kepada NKF pada Julai 2020.
NKF kemudian memfailkan cabaran undang-undang pada 17 Sept tahun itu, dengan menamakan LHDN sebagai responden.
Menurut salinan permohonan semakan kehakiman, yayasan itu memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan LHDN dalam bentuk surat bertarikh 17 Jun 2020, yang didakwa menarik balik status pengecualian cukainya.
Pemohon mendakwa keputusan itu, antara lain, tidak sah, batal, menyalahi undang-undang dan/atau melebihi kuasa, tidak rasional serta /atau tidak munasabah.